
Tag Heuer Umum Jam Pintar Murah Melalui Connected Modular 41

Tag Heuer merupakan satu jenama jam tangan mewah yang terkenal seantero dunia. Tidak hanya tertumpu pada jam mekanikal, Tag Heuer kini dilihat menjinakkan diri dalam pengeluaran jam tangan pintar. Jika Connected Modular 45 yang pernah dilancarkan sebelum ini berharga $1,550 (kira-kira RM6,136), Connected Modular 41 pula lebih ‘murah’ iaitu pada harga $1,200 (sekitar RM4,750) seutas.

Ia bukan sahaja memiliki tanda harga lebih rendah malah saiznya juga agak kecil berbanding generasi sebelumnya. Jam ini direka menggunakan badan berukuran 41mm dan didatangkan dengan tujuh versi yang berbeza. Untuk memenuhi citarasa, pelanggan ditawarkan dengan sembilan jenis tali jam pelbagai warna untuk dipadankan bersama tetapi, pelanggan perlu membayar wang tambahan.
Tag Heuer Connected Modular 41 dibangunkan dengan kerjasama Intel dan Google sekaligus, ia dioperasikan oleh Android Wear. Spesifikasi lain mendapati ia menyediakan paparan AMOLED beresolusi 390 x 390 dengan kecerahan mencecah 350 nits.

Perkakas dalaman menerusi pemproses Snapdragon Wear 2100, RAM 1GB dan storan seluas 8GB melancarkan sistem perisian jam ini. Dengan fungsi NFC, dan GPS, ia juga menyokong sokongan kalis air pada kedalaman 50 meter.
Selain daripada mempamerkan sebuah jam tangan pintar, pengguna juga boleh menukar badan digital ini kepada badan mekanikal menerusi Calibre 5.

