
Samsung Lancarkan Exynos 9810 – Cip Premium Talaan Terbaik Oleh Samsung
Samsung sebagai peneraju teknologi semikonduktor dunia hari ini memperkenalkan cip Exynos Siri 9 terbaru atau lebih dikenali sebagai Exynos 9810 kepada umum. Cip yang dibina berasaskan generasi 10 nm FinFet membawakan berberapa ciri menarik seperti CPU generasi ke-3, modem LTE 6CA pertama, serta pembelajaran mesin khusus untuk peranti flagship keluaran mereka tahun ini.
Menggunakan CPU lapan-teras, cip ini mampu mencapai kelajuan sehingga 2.9Ghz sekaligus lebih efisyen dan mampu menjimatkan kuasa bateri. Rekaan yang maju juga dapat meningkatkan prestasi ujian penanda aras 40 peratus lebih tinggi berbanding cip generasi sebelumnya.
Melalui pembelajaran neural, Exynos 9810 menawarkan pengalaman yang lebih selamat dan terjamin kepada pengguna di samping teknologi pengesanan 3D hibrid boleh mengecam wajah lebih cepat dan tepat.
Modem LTE Cat.18 yang dimuatkan pula mampu menjanjikan liputan yang stabil bahkan untuk rakaman format video 360 secara langsung tidak menjadi masalah. Rakaman gambar dan pemprosesan imej turut dipertingkatkan dalam cip Exynos 9810 terbaru ini. Fotografi beresolusi tinggi dalam keadaan gelap kini dipertingkatkan di samping mampu merendahkan jumlah noise dan kekaburan. Main semula video pula menyokong sehingga 120 fps (bingkai sesaat).
Cip pemproses Exynos 9810 kini dalam pengeluaran secara besar-besaran dan tidak mustahil ia akan diguna pakai pada peranti Galaxy S9 akan datang.