Reviu Eksklusif: Xiaomi Mi Max 2, Phablet Multimedia Mampu Milik Terbaik!

HARGA: RM 1,199

Menonton video YouTube dan bermain permainan mudah alih merupakan antara aktiviti yang paling popular di kalangan pemilik smartphone pada masa ini. Namun begitu, ketahanan bateri yang lemah menjadi ‘musuh’ utama kerana kedua-dua aktiviti tersebut melibatkan penggunaan bateri yang agak tinggi.

Sebelum ini Xiaomi ada memperkenalkan smartphone khusus untuk pengguna yang mementingkan aspek multimedia dengan ketahanan bateri yang baik melalui model Mi Max, kini generasi kedua turut diperkenalkan iaitu Mi Max 2.

Baca Juga: Reviu Eksklusif: Xiaomi Mi Max

Apa yang pasti, Xiaomi Mi Max 2 telah mempertaruhkan spesifikasi yang jauh lebih baik jika dibandingkan dengan generasi sebelumnya, dan ia sememangnya layak dinobatkan sebagai ‘phablet’ multimedia mampu milik terbaik boleh anda miliki di pasaran…

 

SPESIFIKASI

PLATFORM
  • OS: Android 7.1.1 Nougat
  • UI: MIUI 8.5
SLOT KAD
  • Slot 1: nano SIM / microSD
  • Slot 2: micro SIM
PEMPROSES
  • Cipset: Qualcomm MSM8953 Snapdragon 625
  • CPU: Octa-core 2.0GHz Cortex-A53
  • GPU: Adreno 506 @ 650MHz
  • Semikonduktor: 14nm FinFET LPP
MEMORI
  • ROM: 64GB (eMMC 5.1)
  • RAM: 4GB (LPDDR3)
  • microSD: sehingga 128GB
PAPARAN
  • Saiz skrin: 6.44 inci IPS LCD
  • Resolusi: 1080 x 1920 piksel (~342ppi)
  • Keterangan: 450 nits
  • Nisbah kontras: 1000:1
  • Gamut warna: NTSC 72%
  • Mod paparan: Sunlight Display, Night Display, Reading Mode, Color Temperature Adjustment
DIMENSI
  • Ukuran: 174.1 x 88.7 x 7.6mm
  • Berat: 211g
KAMERA UTAMA
  • Resolusi: 12 Megapiksel
  • Sensor lensa: Sony Exmor RS IMX386
  • Saiz piksel: 1.25 μm
  • Aperture: f/2.2
  • Fokus: PDAF
  • Flash: Dual Tone LED Flash
KAMERA DEPAN
  • Resolusi: 5 Megapiksel
  • Aperture: f/2.0
SAMBUNGAN
  • WiFi: 802.11 a/b/g/n/ac
  • Bluetooth: v4.2
  • USB: Type-C 1.0
  • Inframerah:
  • NFC: X
  • Penglokasian: GPS, A-GPS, GLONASS, BeiDou
BATERI
  • Kapasiti: 5300mAh
  • Teknologi: Quick Charge 3.0 + Parallel Charging
  • Output: 5V2.5A / 9V2A / 12V1.5A (18 W)
SENSOR
  • Proximity
  • Ambient light
  • Gyroscope
  • Accelerometer
  • Hall sensor
  • Pengimbas cap jari

 

PAKEJ PEMBELIAN

 

6 PERBEZAAN DENGAN GENERASI SEBELUMNYA?!

Apabila disebut sahaja tentang generasi baru, pastinya ramai di antara pembaca di luar sana yang tertanya-tanya apakah pembaharuan serta penambahbaikan berbanding generasi sebelumnya. Jadi bagi membantu anda di luar sana mengetahui apakah perbezaan antara Mi Max 2 dengan Mi Max edisi 2016, baca seterusnya…

Poin 1 – Spesifikasi & Prestasi
Penambahbaikan Spesifikasi

 

Prestasi Benchmark Sintetik

Ulasan: Berdasarkan kepada jadual, tidak dinafikan lagi bahawa Xiaomi Mi Max 2 menawarkan sokongan spesifikasi yang telah dipertingkatkan secara keseluruhannya berbanding Xiaomi Mi Max generasi pertama. Ini jelas dapat dilihat melalui penyediaan memori dalaman serta RAM yang lebih besar, dan juga sokongan Android 7.1.1 Nougat dengan versi MIUI 8.5 yang lebih terkini. Namun begitu, mungkin ada di antara pengguna di luar sana yang akan mempertikaikan penggunaan cipset Qualcomm Snapdragon 625 pada Mi Max 2 kerana ia menyaksikan keputusan benchmark sintetik yang lebih rendah berbanding Qualcomm Snapdragon 650.

Tetapi pada pendapat kami, kelancaran pengoperasian cipset Mi Max 2 sebenarnya tidaklah begitu jauh berbeza jika dibandingkan dengan generasi pertamanya berdasarkan penggunaannya dalam dunia sebenar. Malah sokongan 14 nm pada Qualcomm Snapdragon 625 turut menjanjikan penggunaan tenaga yang lebih efisien, sekaligus memastikan peranti tidak berhadapan dengan isu overheating dan mampu mengekalkan prestasi yang lebih stabil. Selain itu, walaupun Mi Max 2 menyokong kamera utama dengan resolusi lensa yang lebih rendah, sebenarnya ia tampil dengan sensor lensa yang lebih baik dan berkualiti berbanding sebelum ini.

 

Poin 2 – Rekaan

Jika dilihat seimbas lalu, sememangnya tiada banyak perbezaan rekaan yang dapat dilihat antara model terbaru Mi Max 2 dengan generasi sebelumnya. Tetapi tanpa anda sedari, Xiaomi sebenarnya telah memperbaiki rekaan Mi Max 2 agar tampil lebih kukuh dan premium dengan sokongan kerangka unibodi yang diperbuat daripada aluminium sepenuhnya. Berikut adalah perbezaan rekaan fizikal antara Mi Max 2 dengan Mi Max:

Kerangka Unibodi

Berbeza dengan kerangka Mi Max generasi pertama yang menggabungkan antara kerangka aluminium dan plastik pada bahagian atas serta bawah kerangkanya, Mi Max 2 kini memiliki jalur antena yang tersembunyi pada kerangka unibodi aluminium.

 

Lubang Earpiece Lebih Kecil

Walaupun memiliki saiz kerangka yang sedikit lebih besar berbanding model sebelum ini, Mi Max 2 sebaliknya menampilkan rekaan lubang earpiece yang lebih kecil.

 

Bingkai Hitam Lebih Nipis

Kami sememangnya tidak begitu menggemari paparan skrin Mi Max 2 kerana ia hadir dengan bingkai hitam yang agak besar pada skrin, tetapi jelas dapat dilihat bahawa saiz bingkai hitam itu telah dikecilkan pada Mi Max 2.

 

Lensa Yang Lebih Rata

Sungguhpun Mi Max 2 memiliki kerangka 0.1mm lebih tebal berbanding Mi Max, sekurang-kurangnya kini ia tampil dengan permukaan lensa kamera utama yang rata.

 

Poin 3 – Kapasiti Bateri

Dengan saiz kerangka yang boleh dikatakan sama seperti generasi sebelum ini, Xiaomi Mi Max 2 sebaliknya dilengkapi dengan bateri berkapasiti 5300mAh atau 450mAh lebih besar berbanding Mi Max yang menyokong bateri berkapasiti 4850mAh.

Apa yang lebih menariknya, Mi Max 2 juga turut menyokong teknologi pengecasan pantas dari Quick Charge 3.0 dengan output maksimum mencecah sehingga 12V1.5A (18 W). Ini sekaligus menjanjikan masa mengecas yang jauh lebih cepat berbanding Mi Max yang hanya menyokong output maksimum setakat 5V2A (10 W).

Oleh itu, kami akan membandingkan kepantasan mengecas bateri antara dua generasi siri Mi Max ini dan dalam masa yang sama akan turut membandingkannya dengan dua lagi peranti dengan sokongan kapasiti bateri besar iaitu Lenovo Phab 2 Pro dan juga Huawei Mate 9.

Masa mengecas 0% hingga 100%
Ketahanan bateri 5300mAh

Ulasan: Berdasarkan kepada keputusan masa mengecas penuh yang telah dijalankan, jelas dapat dilihat bahawa Xiaomi Mi Max 2 menyokong masa mengecas yang sangat pantas dan jauh lebih cepat berbanding generasi sebelumnya.

Apa yang pasti, sokongan output mengecas maksimum mencecah sehingga 12V1.5A menjanjikan masa mengecas yang lebih baik jika dibandingkan dengan Huawei Mate 9 yang menyokong bateri 1300mAh lebih rendah dengan output maksimum 4.5V5A. Manakala dari segi ketahanan bateri pula, tidak dinafikan lagi bahawa Xiaomi Mi Max 2 merupakan antara peranti yang menawarkan masa penggunaan yang paling lama dan jauh meninggalkan pesaingnya yang lain.

 

Poin 4 – Speaker Stereo
Sama seperti Huawei P10 Plus dan juga iPhone 7 Plus, Mi Max 2 menyokong kedudukan speaker stereo yang sama.

Paparan skrin dan juga sokongan kapasiti bateri yang sangat besar sememangnya sangat sesuai untuk anda yang mementingkan aspek multimedia. Tetapi kemunculan Xiaomi Mi Max generasi pertama sebelum ini sedikit mengecewakan kerana ia hanya dilengkapi dengan satu speaker sahaja.

Ujian kelantangan speaker stereo

Bagi mengubati kekecewaan itu, Xiaomi telah memperkenalkan generasi kedua iaitu Mi Max 2 yang kini memliki dua buah speaker berkualiti stereo.

 

Poin 5 – Kamera

Tidak dinafikan bahawa Xiaomi Mi Max generasi pertama menyokong lensa dengan resolusi yang lebih tinggi, tetapi itu tidak bermakna ia menjanjikan hasil gambar yang lebih baik berbanding Mi Max 2 yang hanya menyokong lensa beresolusi 12 Megapiksel.

Untuk pengetahuan anda, Mi Max 2 menyokong sensor kamera yang lebih baik iaitu Sony Exmor RS IMX386 dengan saiz piksel berukuran 1.25 μm berbanding Mi Max yang dilengkapi sensor OmniVision OV16880 dengan saiz piksel yang lebih rendah iaitu 1.0 μm. Apa yang pasti, sokongan sensor pada Mi Max 2 menjanjikan hasil gambar yang jauh lebih berkualiti berbanding generasi sebelumnya.

Hasil Gambar

Indoor

Outdoor

HDR

Makro

Poin 6 – Pilihan Warna

Berbeza dengan generasi sebelum ini yang ditawarkan dalam tiga warna iaitu Gray, Silver dan Gold, Mi Max 2 pula hanya didatangkan dalam dua warna pilihan sahaja iaitu Gold dan Black.

Jika sebelum ini kesemua panel depan Mi Max generasi pertama hadir dalam warna putih sahaja, kini Mi Max 2 terasa jauh lebih menarik kerana kerangka Gold menyokong panel depan berwarna putih dan kerangka Black pula menyokong panel depan berwarna hitam.

 

KOMEN

Kelebihan
  • Ketahanan bateri yang sangat baik dan antara yang terbaik boleh anda miliki di pasaran, dan kini dilengkapi dengan teknologi pengecasan pantas.
  • Rekaan kerangka unibodi logam sepenuhnya dengan rekaan jalur antena yang tersembunyi sememangnya kelihatan sangat menarik dan premium.
  • Sokongan paparan skrin yang besar serta speaker stereo sememangnya sangat sesuai untuk anda yang mementingkan aspek multimedia.
  • Prestasi Qualcomm Snapdragon 625 bukan sahaja menjanjikan penggunaan bateri yang lebih efisien, tetapi ia juga menawarkan prestasi yang agak baik.
Kekurangan
  • Saiz kerangka yang sangat besar sememangnya tidak sesuai untuk sesetengah pengguna.
  • Tidak sesuai untuk penggemar swafoto kerana kualiti kamera depan adalah sederhana sahaja dan tiada peningkatan berbanding generasi sebelumnya.
  • Walaupun tampil dengan kerangka yang besar, ia menyokong slot kad jenis hibrid yang membataskan penggunaan dua kad SIM dan satu kad microSD secara serentak.

 

 

 

You might also like