
HARGA: RM 999
Saiz skrin 5.7 inci yang ditawarkan pada Mi Note masih tidak cukup besar untuk anda, tetapi saiz tablet pula terlalu besar untuk digunakan sebagai peranti utama?! Nampaknya kehendak anda itu mungkin boleh dipenuhi dengan kehadiran model terbaru yang diperkenalkan oleh Xiaomi dengan kemunculan Mi Max. Sokongan skrin mencecah sehingga 6.44 inci ini turut diimbangi dengan kapasiti bateri yang menawarkan ketahanan bateri yang sangat baik. Walaupun tampil dengan sokongan spesifikasi yang baik, Xiaomi Mi Max juga ditawarkan pada harga mampu milik yang menjadi salah satu kriteria penting kebanyakan pengguna dalam membuat keputusan sebelum memilikinya.
SPESIFIKASI
OS & UI | • Android 6.0.1 Marshmallow • MIUI 8 |
Slot Kad | • Dual SIM Dual 4G Standby • Slot 1: nanoSIM/microSD • Slot 2: microSIM |
Pemproses & Memori | • Qualcomm MSM8956 Snapdragon 650 (64-bit) • Hexa Core (Dual Core Cortex-A72 1.8GHz + Quad Core Cortex-A53 1.4GHz) • 28nm Hpm • Adreno 510 @ 600MHz • 32GB ROM + 3GB RAM |
Ukuran & Berat | • 173.1 x 88.3 x 7.5mm • 203g |
Paparan | • 6.44 inci IPS LCD • 1080 x 1920 piksel (~342ppi) • Corning Gorilla Glass 3 • Keterangan maksimum 450 nits • Nisbah kontras 1000:1 • Gamut warna 72% NTSC • Mod paparan: Sunlight Display / Night Display / Reading Mode / Color Temperature Adjustment |
Kamera Utama | • 16 Megapiksel • Phase Detection Auto Focus (PDAF) • Aperture f/2.0 • Lensa 5 elemen • Dual Tone Flash • Mod kamera: Auto, Panorama, Timer, Audio, Manual, Straighten, Beautify, HHT, Tilt-shift, HDR • Rakaman video: 1080p @ 30fps, 720p slow-mo @ 120fps |
Kamera Depan | • 5 Megapiksel • Aperture f/2.0 • 85° Wide Angle • Selfie Countdown • Face Recognition • Mod kamera: Timer, Audio, Beautify |
Sambungan | • WiFi 802.11 a/b/g/n/ac (WiFi Display, WiFi Direct) • Bluetooth 4.2 • microUSB 2.0 (USB OTG, USB Host) • 3.5mm audio jack • GPS, A-GPS, GLONASS, BeiDou |
Sensor | • Pengimbas cap jari • Inframerah • Accelerometer, Ambient light sensor, Hall sensor, Proximity sensor, Electronic compass |
Bateri | • Lithium Ion • 4850mAh • 5V2A (Quick Charge 2.0) |
PILIHAN WARNA KERANGKA
Berdasarkan kepada model yang pernah diperkenalkan sebelum ini, jelas dapat dilihat bahawa Xiaomi ini tidak begitu cenderung untuk tampil dengan kerangka berwarna-warni sebagaimana jenama lain di pasaran. Nampaknya Xiaomi Mi Max juga begitu apabila ia hanya diperkenalkan dalam dua pilihan warna kerangka iaitu Silver dan juga Gold. Apa yang pasti, kedua-dua warna kerangka ini tampil dengan panel depan berwarna putih.
PAKEJ PEMBELIAN
Kotak Pembungkusan
Kotak pembungkusan Mi Max tampil dalam warna putih dan kelihatan sangat ringkas penampilannya dengan hanya memaparkan tulisan ‘MI MAX IS THE NEW BIG’ pada bahagian atas kotak.
Aksesori
Dengan harga jualan yang mampu milik, Mi Max menawarkan sokongan aksesori asas sahaja dan set earphone tidak disediakan. Namun ia telah didatangkan dengan adapter pengecas pantas dengan output 5V2A.
FIZIKAL
Perbandingan Saiz Kerangka
Paparan skrin Mi Max yang sangat besar ini sememangnya memberikan lebih kepuasan dan juga pengalaman yang jauh lebih menarik. Ini termasuklah menonton video, bermain permainan HD, memaparkan dokumen, mahupun membaca e-buku kerana ia berupaya memaparkan saiz skrin yang jauh lebih besar dan jelas.
Lubang Earpiece
Bahagian atas seperti biasa telah menempatkan lubang earpiece dengan rekaan minimalis, yang mana pada sebelah kirinya boleh ditemui proximity sensor dan juga lensa depan beresolusi 5 Megapiksel pada sebelah kanannya. Untuk pengetahuan anda, bersebelahan dengan lensa depan itu juga turut menempatkan sebuah LED Notifikasi.
Corning Gorilla Glass 3
Mi Max menggunakan paparan skrin daripada Corning Gorilla Glass 3 yang tampil dengan rekaan melengkung 2.5D yang tidak begitu ketara. Apa yang menariknya, saiz bezel pada paparan skrin boleh dianggap agak kecil dengan nisbah skrin-ke-kerangka mencecah 74.8%. Sungguhpun begitu, masih dapat dilihat penggunaan bingkai hitam yang agak besar pada skrin.
Butang Kawalan
Bezel pada bahagian bawah paparan skrin telah dioptimumkan ruangnya dengan penyediaan butang kawalan jenis sentuhan yang sangat sensitif. Ketiga-tiga butang Menu, Home dan juga Back itu mudah untuk digunakan dalam persekitaran gelap kerana ia dilengkapi dengan cahaya LED yang agak baik tahap keterangannya.
Lensa Kamera
Hampir keseluruhan bahagian panel belakang diperbuat daripada logam, tetapi pada bahagian atas dan bawah kerangka tampil dengan kemasan plastik memandangkan ia tidak memiliki jalur antena sebagaimana kerangka unibodi logam yang lain. Lensa utama sedikit timbul dari permukaan dan bersebelahannya menempatkan Dual LED Flash.
Pengimbas Cap Jari
Kedudukan sensor pengimbas cap jari pada panel belakang Mi Max berada pada kedudukan yang mudah dicapai. Selain daripada proses unlock yang sangat pantas, proses imbasan cap jari juga boleh terus dibuat walaupun Mi Max berada dalam mod sleep dan ini bermakna anda tidak perlu menghidupkan paparan skrin terlebih dahulu.
Sisi Kerangka
Sisi kiri telah disediakan dengan satu slot yang boleh diakses menggunakan pin yang disediakan dalam pakej pembelian. Manakala sisi kanan pula menempatkan dua buah butang kawalan fizikal iaitu butang Power/Lock dan juga butang Volume yang juga diperbuat daripada logam dan juga kemasan yang sama seperti kerangkanya.
Penyediaan Port
Hanya sebelah kiri bahagian atas kerangka digunakan untuk menempatkan port 3.5mm audio jack, port inframerah dan juga lubang mikrofon. Bahagian bawah kerangka pula menampilkan rekaan simetri dengan dua buah lubang speaker serta sebuah port microUSB. Walau bagaimanapun, hanya lubang speaker di sebelah kanan sahaja yang berfungsi.
MIUI 8
Seperti yang anda ketahui, MIUI 8 telah dilancarkan serentak dengan kemunculan Xiaomi Mi Max pada 30 Jun yang lalu. Pada 3 September yang lalu, Xiaomi Malaysia telah membawa masuk model Mi Max secara rasmi untuk pasaran di negara ini. Apa yang menariknya, unit Mi Max yang diterima telah dioperasikan dengan Android 6.0.1 Marshmallow dengan sokongan antaramuka terbaru MIUI 8.
Notification Area
Berbeza dengan MIUI sebelum ini, Mi Max yang menyokong MIUI 8 tampil dengan antaramuka Notification Area yang telah diperbaharui. Kini ruangan Notification Area telah memperlihatkan tetingkap Quick Settings dan juga Notifications yang telah disatukan di dalam satu paparan yang sama. Ini bermakna anda tidak lagi perlu meleretkan tetingkap ke kiri untuk melihat notifikasi atau meleretkannya ke kanan untuk mengakses tetingkap tetapan pintas.
Recent Apps
Bagi mengatasi kekurangan pada MIUI sebelum ini, fungsi Recent Apps telah diperbaiki keupayaannya. Jika sebelum ini kesemua aplikasi yang telah dibuka akan dipaparkan dalam bentuk ikon kecil, MIUI 8 memberikan anda satu lagi pilihan untuk memaparkan aplikasi tersebut dalam gaya thumbnail dengan menyentuh ikon kecil di bahagian atas paparan skrin.
Security
Tanpa perlu memuat turun aplikasi pihak ketiga, anda berupaya mengurus peranti dengan adanya aplikasi pra-pasang yang dikenali sebagai Security. Aplikasi ini telah disediakan dengan enam menu utama iaitu Cleaner, Data usage, Blocklist, Battery, Virus scan dan juga Permissions. Apa yang pasti penyediaan aplikasi sebegini mampu memastikan peranti agar sentiasa berada pada tahap yang optimum.
Mi Remote
Sokongan port inframerah serta aplikasi pra-pasang Mi Remote pada Mi Max membolehkan anda untuk mengawal hampir apa sahaja perkakasan eletrik serta elektronik di rumah mahupun tempat kerja anda. Terdapat 10 kategori berbeza seperti TV, penghawa dingin, pemain DVD dan banyak lagi. Ini bermakna anda tidak lagi memerlukan alat kawalan jauh yang banyak apabila menggunakan Xiaomi Mi Max.
Second Space
Sekiranya anda inginkan privasi yang lebih terjamin apabila meminjamkan smartphone kepada rakan atau mengasingkan ruang kerja dan peribadi, fungsi Second Space adalah sangat praktikal untuk digunakan. Dengan mengaktifkan fungsi ini, ia boleh diibaratkan seperti memiliki dua buah peranti yang berbeza. Ini bermakna anda tidak lagi perlu risau untuk menyerahkan smartphone tersebut kerana ruangan utama tidak boleh diakses oleh mereka.
Dual Apps
Walaupun memiliki dua slot kad SIM, setiap satu aplikasi terutamanya aplikasi sosial seperti WhatsApp dan WeChat hanya mampu menyokong satu sahaja nombor telefon pada satu-satu masa. Jadi dengan MIUI 8, ia telah disediakan dengan fungsi Dual Apps yang membolehkan anda untuk memiliki dua ikon berasingan bagi setiap aplikasi tersebut, sekaligus membolehkan kedua-duanya dioperasikan dengan sokongan nombor telefon berbeza.
ZON UJIAN
UJIAN BENCHMARK
Kesimpulan: Jelas dapat dilihat bahawa Xiaomi Mi Max menyokong prestasi yang jauh lebih baik jika dibandingkan dengan dua lagi pesaingnya. Ini kerana Mi Max telah dikuasakan dengan pemproses Qualcomm MSM8956 Snapdragon 650 yang lebih berkuasa, terutamanya dengan bantuan dua teras Cortex-A72 berkelajuan 1.8 Ghz.
UJIAN PAPARAN
Kesimpulan: Sokongan paparan skrin Xiaomi Mi Max boleh dianggap lebih baik jika dibandingkan dengan Lenovo PHAB Plus. Tetapi dari segi tahap keterangan dan juga kontras skrin, Sony Xperia XA Ultra adalah lebih baik jika dibandingkan dengan Mi Max. Walau bagaimanapun, sokongan paparan IPS LCD berupaya menawarkan sudut pandangan serta warna yang sangat baik pada phablet ini.
UJIAN KAMERA
Kesimpulan: Keupayaan penggambaran Xiaomi Mi Max boleh dianggap sangat memuaskan kerana ia menyokong lensa beresolusi 16 Megapiksel dengan Aperture f/2.0 yang menjanjikan hasil gambar yang lebih terang jika dibandingkan dengan pesaingnya yang masing-masing menyokong Aperture f/2.2. Apa yang lebih menariknya, proses pengambilan gambar pada Mi Max juga adalah sangat pantas.
UJIAN BATERI
Kesimpulan: Walaupun Xiaomi Mi Max menyokong kapasiti bateri yang sangat besar iaitu mencecah sehingga 4850mAh, berbanding 3500mAh pada Lenovo PHAB Plus dan hanya 2700mAh pada Sony Xperia XA Ultra, ia mengambil masa yang sangat pantas untuk dicas penuh dengan teknologi Quick Charge 2.0. Apa yang pasti, ia berupaya menawarkan ketahanan bateri hampir dua kali ganda berbanding pesaingnya.
PERBANDINGAN PAPARAN SKRIN
Kelebihan paling utama yang membezakan antara Xiaomi Mi Max dengan peranti mampu milik yang lain di pasaran sudah tentunya saiz paparan skrinnya yang sangat besar mencecah sehingga 6.44 inci. Jadi bagi melihat sendiri kelebihan memiliki paparan skrin yang besar berbanding paparan skrin yang lebih kecil, kami akan membuat perbandingan dengan model Xiaomi Redmi Note 3 yang memiliki skrin berukuran 5.5 inci dan juga Mi 5 yang berukuran hanya 5.15 inci.
Paparan 1: Video
Paparan 2: Permainan![dav]()
Paparan 3: Laman web
Paparan 4: Dokumen
Paparan 5: E-Buku
Paparan 6: Navigasi
HASIL GAMBAR



KOMEN
Adakah anda merasakan saiz paparan skrin smartphone dirasakan agak kecil, tetapi saiz paparan skrin yang disokong oleh tablet pula terlalu besar untuk digunakan sebagai peranti utama?! Mungkin Xiaomi Mi Max adalah jawapan yang paling tepat untuk anda kerana ia menampilkan rekaan sebuah smartphone dengan sokongan paparan skrin yang sangat besar. Apa yang lebih menariknya, Mi Max sememangnya sangat sesuai untuk pelbagai aktiviti tidak kira hiburan ataupun urusan kerja kerana ia merupakan antara peranti Android yang menawarkan ketahanan bateri yang paling baik di pasaran.
Walaupun ia hadir dengan sokongan spesifikasi yang sangat baik di dalam kelas pasarannya, Xiaomi Mi Max yang dikategorikan sebagai peranti mampu miliki ini sebenarnya masih lagi memiliki kekurangan yang nyata. Antaranya adalah ketiadaan sambungan NFC, sokongan teknologi Quick Charge 2.0 masih agak perlahan untuk mengecas penuh baterinya, paparan skrin yang sukar digunakan di bawah cahaya matahari yang terik dan juga rakaman video 4K yang kurang berkualiti.