
Membuat pilihan untuk memilki sebuah telefon pintar bukan semudah yang dijangka. Ada sesetengah pengguna mementingkan jenama dan ada sesetengah pengguna lebih tertumpu pada keupayaan sesebuah telefon pintar tersebut. Tetapi jika anda ingin memiliki peranti pada harga berpatutan dengan tawaran spesifikasi setanding peranti induk yang lain, honor View 10 patut anda beri perhatian.
Seperti yang kita ketahui, honor tidak pernah menawarkan peranti pada harga melebihi RM2,000 di Malaysia. Namun, pada kali ini anda perlu menyediakan wang tambahan sedikit kerana peranti ini mempunyai tanda harga sebanyak RM2,099. Bagaimanapun, jika dibelanjakan pada harga sebegini kami pasti anda tidak akan berasa menyesal.
Oleh kerana harga peranti ini sudah melebihi had capaian rata-rata pengguna di Malaysia, honor View 10 didatangkan dengan kuasa dalaman kelas atasan dengan cip Kirin 970. Binaan badan logam seberat 172g ini juga hadir dengan paparan nisbah 18:9 bersaiz 5.99-inci HD penuh+. Selain skrin hampir penuh, honor juga meletakkan sistem pengimbas cap jari pantas di bahagian bawah. Di ruang atas skrin, ia dipenuhi dengan earpiece (speaker telinga) dan beberapa sensor termasuk kamera depan 13 Megapiksel.
Di bahagian belakang, pertama sekali boleh dilihat ialah cop jenama dengan ukiran laser. Badan peranti yang dikemaskan dengan warna hitam kusam turut menampilkan gabungan dwi kamera 16 MP dan 20 MP . Tidak ketinggalan sebuah lampu LED flash diletakkan secara bersebelahan. Secara terperinci, kami mendapati ia bukan sebuah peranti unibodi tetapi dibina berdasarkan cantuman panel bersama kerangka tengah. Ini mungkin bertujuan memudahkan juruteknik membaiki peranti sekiranya ia rosak.
Apa yang menarik perhatian kami, walaupun pada ketebalan 6.97mm honor masih mampu meletakkan bicu USB-C di bawah pengimbas cap jari. Ini bermakna mereka betul-betul menggunakan ruang yang ada sebaiknya. Di sudut ini juga unit speaker dan bicu audio boleh kelihatan.
Di sisi kanan, ia menyediakan butang laras suara dan butang kuasa (butang kunci) manakala, di sisi kiri terdapat slot SIM dan slot hibrid (SIM / microSD). Sementara anda juga ditawarkan ciri IR Blaster (alat kawalan jauh) di bahagian atas. Jalur antena pula tidak disembunyikan tetapi, dimuatkan secara melintang di bahagian atas dan bawah.
Setakat ini, honor View 10 didatangkan dengan pilihan warna Navy Blue dan Midnight Black. Walau bagaimanapun, kekurangan tetap ada untuk setiap peranti. Di sini, peranti ini mudah meniggalkan kesan cap jari dan rekaannya pula tiada yang unik. Ia hampir seiras dengan telefon pintar honor yang lain.
Nantikan Reviu Eksklusif Honor View 10 dari kami!



