[Khabar Angin] Peranti Android Oreo (Edisi Go) Dengan Harga RM125 Akan Mula Dijual Di India Mulai Januari Ini

Android Oreo (Edisi Go) disasarkan untuk peranti kelas permulaan dengan sokongan spesifikasi yang rendah.

Menurut laporan yang telah dikeluarkan oleh Factor Daily, pembangun platform Android iaitu Google dikatakan telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa pembuat telefon pintar di India dalam usaha untuk melancarkan peranti Android Go yang berasaskan Android 8.0 Oreo. Berdasarkan maklumat yang dikongsikan itu, Micromax dikatakan akan tampil dengan peranti Android Oreo Go pada harga Rs 2,000 (kira-kira RM125) mulai Januari ini.

Melalui sumber yang rapat dengan syarikat itu, peranti terbaru keluaran Micromax itu dipercayai akan dilancarkan secara rasmi sekitar Hari Republik di negara itu yang akan berlangsung pada 26 Januari 2018 nanti. Malah lebih banyak pembuat telefon pintar di India akan turut melancarkan peranti Android Oreo Go keluaran mereka beberapa minggu selepas itu.

Android Go menawarkan sokongan aplikasi Google yang telah dioptimumkan bagi memastikan kelancaran pengoperasiannya.

Sebagai rujukan pembaca, Android Go merupakan platform mudah alih yang disasarkan untuk telefon pintar kelas permulaan dengan sokongan memori RAM kurang dari 1GB. Lebih menariknya, ia mampu menerima kemas kini terbaru dari Google yang telah dioptimumkan untuk kesesuaian spesifikasi peranti kelas permulaan.

You might also like