
Efek ‘Burn-in’ Pada iPhone X Hanya Terjadi Selepas 510 Jam Dengan Keterangan Maksimum

Skrin OLED boleh dianggap antara teknologi paparan yang terbaik buat masa ini kerana ia mampu menghasilkan kontras yang sangat baik dengan warna yang lebih menonjol. Namun begitu, efek ‘burn-in’ atau masalah imej atau teks yang dapat dilihat apabila skrin berwarna putih dipaparkan merupakan isu utama yang menjadi kelemahan paparan ini.
Cetizen yang merupakan sebuah laman sesawang yang menjual telefon pintar terpakai popular di Korea Selatan, baru-baru ini telah membuat ujian ketahanan panel skrin berasaskan OLED pada tiga model popular iaitu Samsung Galaxy Note8, Apple iPhone X dan juga Samsung Galaxy S7 Edge. Melalui ujian itu, skrin ketiga-tiga model ini telah ditetapkan pada keterangan yang paling maksimum dan paparan skrin dibiarkan menyala tanpa henti untuk satu jangka masa yang panjang.

Keputusan ujian itu agak mengejutkan kerana paparan skrin iPhone X dilihat mampu bertahan lebih lama iaitu mencecah sehingga 510 jam, sebelum efek ‘burn-in’ mula kelihatan. Manakala efek ‘burn-in’ pada Samsung Galaxy S7 Edge pula terjadi selepas 155 jam. Apa yang mengecewakan, Samsung Galaxy Note8 berhadapan dengan efek ‘burn-in’ yang sangat teruk selepas 155 jam paparan skrin dinyalakan tanpa henti.

