
Samsung Umum Monitor Melengkung QLED Pertama Menggunakan Thunderbolt 3

Samsung baru-baru ini mengumumkan produk terbaru keluaran mereka dalam siri monitor dengan memperkenalkan CJ791. Ia adalah sebuah monitor yang hadir dengan ciri sambungan Intel Thunderbolt 3 khusus bagi mereka yang pentingkan hiburan serta kerja pejabat.
Apa yang menarik melalui sambungan Thunderbolt 3, pengguna boleh menghubungkan monitor ini kepada laptop lain tanpa memerlukan sambungan wayar yang banyak. Thunderbolt 3 juga dikatakan empat kali ganda lebih pantas berbanding USB biasa dengan kelajuan mencecah 40Gbps.

Monitor ini membawakan skrin bersaiz 34-inci melengkung dengan nisbah 21:9 yang menghasilkan resolusi 3440 x 1440 QHD iaitu 2.5 kali ganda piksel daripada HD penuh biasa. Rekaan luaran yang moden boleh dilihat melalui ruang bezel yang nipis malah paparan juga boleh dilaraskan mengikut kesesuaian pengguna.

Teknologi QLED yang ditawarkan juga dapat memberikan spektrum warna sehingga 125% sRGB di samping sudut penglihatan lebih lebar iaitu 178-darjah serta masa tindak balas hanya empat milisaat. Jadi ia sebuah monitor yang sangat sesuai untuk dijadikan perkakasan bagi mereka yang gemarkan permainan atas talian.
Buat masa ini ia akan diperkenalkan di CES 2018 kelak dan mungkin akan dipasarkan beberapa bulan yang akan datang.

