Senarai Peranti Dengan Sokongan Qualcomm Snapdragon 845 Untuk Tahun 2018 Didedahkan

Senarai peranti dengan sokongan pemproses Qualcomm Snapdragon 845 ini telah dikongsikan melalui pemilik akaun Weibo iaitu Kumamoto Technology, blogger digital dari China.

Pengumuman Qualcomm Snapdragon 845 pada awal bulan Disember yang lalu boleh dianggap sebagai pemproses paling berkuasa pernah diperkenalkan oleh Qualcomm setakat ini. Walaupun pemproses ini akan mula digunakan pada telefon pintar mulai tahun 2018 nanti, ada sumber dari China yang telah mendedahkan senarai peranti yang akan tampil dengan sokongan pemproses itu.

Apa yang lebih menariknya, pendedahan itu bukan setakat menyenaraikan nama model tetapi ia juga turut menunjukkan garis masa bagi setiap bulan sepanjang tahun 2018. Peranti pertama yang akan tampil menggunakan pemproses Qualcomm Snapdragon 845 ini merupakan Samsung Galaxy S9 dan Galaxy S9 Plus pada bulan Februari nanti. Manakala ia akan diikuti dengan model LG G7 dan juga G7+ yang akan diperkenalkan pada bulan yang sama.

Xiaomi Mi 7 pula dilihat akan turut menggunakan pemproses ini pada bulan April, diikuti dengan HTC U12 pada bulan Mei. Jun nanti akan memperlihatkan lebih banyak peranti dengan sokongan pemproses itu dengan kemunculan tiga model iaitu OnePlus 6, ZTE Nubia Z18, dan juga Sony Xperia XZ Pro-A. Manakala hanya satu model diperkenalkan pada bulan Ogos iaitu model Nokia 10.

Seperti biasa bulan September nanti akan muncul lebih banyak model dengan sokongan pemproses Snapdragon 845 iaitu Samsung Galaxy Note9, Xiaomi Mi MIX 3, dan LG V40. Diikuti oleh model Google Pixel 3/3 XL, ZTE Nubia Z18S, Sony Xperia XZ2, dan juga HTC U12+ pada bulan Oktober. Motorola Moto Z 2019 merupakan satu-satunya model yang diperkenalkan pada bulan November. OnePlus 6T dan telefon pintar boleh-lipat keluaran Samsung iaitu model W2019 pula bakal diperkenalkan pada Disember 2018 nanti.

You might also like