Sony Lancar Fon Kepala Tanpa Wayar Siri 1000X Pada Harga Bermula Dari RM899

Selepas mendedahkan tiga varian fon kepala tanpa wayar dari siri 1000X di dalam acara tahunan IFA 2017 pada September yang lalu, Sony Malaysia akhirnya telah melancarkan siri terbaru fon kepala keluarannya itu secara rasmi di negara ini. Sebagaimana yang pernah dikongsikan oleh eRing sebelum ini, fon kepala tanpa wayar dari siri 1000X ini menampilkan sokongan teknologi pembatalan bunyi yang termaju dan terbaik pernah diperkenalkan setakat ini.

Mr. Satoru Arai – Pengarah Urusan Sony Malaysia

Di dalam majlis pelancaran yang diadakan ini, Sony Malaysia telah membawa masuk tiga varian yang menampilkan ciri-ciri rekaan tanpa wayar yang berbeza bagi memenuhi permintaan penggemar audio atau golongan ‘audiophile’ yang sangat mementingkan pengalaman berhibur yang terbaik. Sony WF-1000X hadir dengan rekaan minimalis yang kompak, Sony WI-1000X pula diperkenalkan dalam rekaan neckband, manakala Sony WH-1000XM2 pula menawarkan rekaan fon kepala yang lebih konvensional.

 

Sony WF-1000X (RM899)

Dengan rekaan fon kepala tanpa wayar minimalis yang menggunakan kaedah pemakaian di dalam telinga, WF-1000X mampu memberikan lebih kebebasan kepada pengguna yang aktif. Sungguhpun memiliki kerangka yang kompak, ia didatangkan dengan sokongan spesifikasi yang menarik seperti penggunaan unit pemacu 6mm, kaedah sambungan menggunakan rangkaian Bluetooth, Adaptive Sound Control yang akan menala bunyi secara automatik mengikut persekitaran, fungsi Auto On / Auto Off bagi menjimatkan penggunaan bateri, dan juga kotak simpanan yang berupaya mengecas fon kepala apabila tidak digunakan.

Spesifikasi :

  • Berat : 6.8g (fon kepala) / 70g (kotak simpanan)
  • Unit Pemacu : 6mm
  • Sambungan : Bluetooth v4.1 (fon kepala) / NFC (kotak simpanan)
  • Respon Frekuensi : 20Hz – 20,000Hz
  • DSEE HX : Tiada
  • S-Master HX : Tiada
  • Ketahanan Bateri : (Masa mengecas) lebih kurang 1.5 jam / (Masa memain muzik) sehingga 3 jam / (Masa menunggu) sehingga 8 jam (Pembatalan Bunyi ON) & sehingga 35 jam (Pembatalan Bunyi OFF)

 

Sony WI-1000X (RM1,499)

Sony WI-1000X ternyata lebih sesuai dan selesa untuk dipakai sepanjang hari dengan rekaan neckband yang hanya perlu disangkutkan pada bahagian leher si pemakai. Apa yang lebih menariknya, ia menjadi fon kepala yang pertama di dunia dilengkapi dengan teknologi pembatalan bunyi lebih maju yang dikenali sebagai Atmospheric Pressure Optimising. Ciri ini memastikan penyesuaian teknologi pembatalan bunyi pada altitud tinggi ketika berada di dalam penerbangan bagi memastikan bunyi audio yang lebih jelas dan sempurna. Tidak cukup dengan itu, sokongan unit pemacu yang lebih besar berukuran 9mm dengan amplifier audio beresolusi tinggi dari S-Master HX turut menjanjikan bunyi yang lebih dinamik dan juga mengurangkan isu herotan (distortion).

Spesifikasi :

  • Berat : 71g
  • Unit Pemacu : 9mm
  • Sambungan : Bluetooth v4.1 / NFC
  • Respon Frekuensi : 3Hz – 40,000Hz
  • DSEE HX : Ada
  • S-Master HX : Ada
  • Ketahanan Bateri : (Masa mengecas) lebih kurang 3.5 jam / (Masa memain muzik) sehingga 10 jam (Pembatalan Bunyi ON) & sehingga 13 jam (Pembatalan Bunyi OFF) / (Masa menunggu) sehingga 17 jam (Pembatalan Bunyi ON) & sehingga 100 jam (Pembatalan Bunyi OFF)

 

Sony WH-1000XM2 (RM1,599)

Bagi golongan audiophile, Sony WH-1000XM2 merupakan fon kepala yang paling sesuai untuk dimiliki kerana ia menawarkan pengalaman berhibur yang terbaik melalui rekaan konvensionalnya. Sama seperti model Sony WI-1000X, fon kepala ini turut dilengkapi dengan ciri-ciri terbaik seperti Atmospheric Pressure Optimising, Adaptive Sound Control, Ambient Sound Control, S-Master HX dan juga DSEE HX. Sebagai tambahan, ia turut dilengkapi dengan ciri Quick Attention yang membolehkan anda berkomunikasi tanpa perlu menanggalkan fon kepala dari telinga. Anda hanya perlu meletakkan tapak tangan pada permukaan fon kepala untuk menutup volume secara automatik Selain itu, anda juga menggunakan kawalan sentuhan pada permukaan fon kepala untuk menjawab panggilan ataupun mengawal volume dan menukar muzik..

Spesifikasi :

  • Berat : 275g
  • Unit Pemacu : 40mm
  • Sambungan : Bluetooth v4.1 / NFC
  • Respon Frekuensi : 4Hz – 40,000Hz
  • DSEE HX : Ada
  • S-Master HX : Ada
  • Ketahanan Bateri : (Masa mengecas) lebih kurang 4 jam / (Masa memain muzik) sehingga 30 jam (Pembatalan Bunyi ON) & sehingga 38 jam (Pembatalan Bunyi OFF) / (Masa menunggu) sehingga 40 jam (Pembatalan Bunyi ON) & sehingga 200 jam (Pembatalan Bunyi OFF)
You might also like