IFA 2017: Sony Perkenalkan Siri 1000X – Headset Dengan Ciri Pembatalan Suara Terbaik Dunia

Sony melancarkan tiga varian fon kepala WF-1000X, WI-1000X, dan WH-1000XM2 yang terbaru dalam keluarga siri 1000X. Ciri utama yang menjadi titik penjualan ketiga-tiga peranti ini ialah dilengkapi dengan teknologi pembatalan suara antara yang termaju di dunia. Fungsi ini juga membantu anda mendengar muzik tanpa gangguan suara di sekeliling.

Sony WF-1000X ialah fon kepala yang direka dengan saiz kompak. Ia hadir tanpa wayar untuk memberikan keselesaan kepada anda tidak kira di tempat kerja ataupun bersantai di tempat awam. Walaupun fon kepala ini bersaiz kecil, ia dimuatkan pemacu 6mm yang mampu menyalurkan bunyi yang dinamik dan berkualiti. Kotak sarung WF-1000X pula bukan sahaja berfungsi sebagai tempat menyimpan, tetapi ia juga boleh menjadi tempat mengecas peranti.

Bagi anda yang inginkan ketahanan bateri yang lebih panjang, Sony WI-1000X adalah jawapannya. Dengan meletakkannya di leher, anda tidak lagi akan berasa rimas malah waktu mendengar muzik mampu bertahan sehingga 14 jam lamanya. Apa yang menarik, peranti ini adalah yang pertama di dunia menerima ciri Atmospheric Pressure Optimising. Ciri ini akan mengoptimumkan tekanan udara lantas ia sangat sesuai digunakan di dalam kapal terbang. Fon kepala ini hadir dengan pemacu 9mm yang bunyi beresolusi tinggi, LDAC, DSEE HX, dan S-Master HX.

Namun, jika anda mencari fon kepala yang sarat dengan teknologi canggih, boleh dapatkan Sony WH-1000XM2 kerana peranti ini tidak akan mengecewakan anda. Ia juga lengkap dengan ciri unik iaitu Ambient Sound Mode, Personal NC Optimiser, dan Quick Attention Mode. Fon kepala ini sangat sesuai bagi anda yang sering melakuakan perjalanan jarak jauh oleh kerana baterinya boleh bertahan selama 40 jam dengan wayar dan 30 jam tanpa wayar. Pengecasan pantas Quick Charge mampu memenuhkan bateri hanya dalam 70 minit sahaja.

Untuk mengawal ketiga-tiga fon kepala ini, Sony telah menyediakan Headphone Connect App dimana pengguna dapat mengakses penuh dan mempelajari bagaimana ciri bijak ini berfungsi. Selain itu, anda juga boleh melaras bunyi dan muzik mengikut kesesuaian masing-masing.

Sony WF-1000X, WI-1000X, dan WH-1000XM2 akan berada di pasaran Malaysia bermula Oktober depan.

You might also like