
Lanjutan dari pengumuman Samsung Gear Sport, Samsung Malaysia juga melancarkan Gear IconX kepada pengguna tempatan. Ianya sebuah fon telinga tanpa wayar dengan rekaan kompak serta direka khusus buat penggemar muzik yang suka melakukan aktiviti luar.

Model yang dipertingkatkan ini kini lebih ringan dan selesa untuk dipakai selain ciri fizikal luaran yang lebih bergaya. Menariknya, ia juga boleh memberitahu pengguna maklumat kecergasan melalui arahan suara tanpa perlu anda mengupah jurulatih sebenar.

Pengguna juga tidak perlu khuatir akan ketahanan bateri kerana Samsung Gear IconX menyediakan waktu berhibur yang panjang. Di samping itu, lagu juga boleh dipindahkan secara offline terus dari telefon pintar dan komputer atau mendengar lagu kegemaran menerusi sambungan Bluetooth.

Samsung Gear IconX akan berada di kedai Samsung Experience Store bermula 1 Disember depan dengan tanda harga RM799 dalam kemasan warna merah jambu, hitam, dan perak. Setiap pembelian, pelanggan akan menerima dua tali jam ekstra (RM198) bersama Collector Box edisi terhad (RM299) selagi stok masih ada.

