
ZTE Nubia Z17 Dengan RAM 8GB Dan Snapdragon 835
Pengeluar telefon pintar kini berlumba-lumba untuk memasarkan peranti dengan memori RAM 6GB tetapi apa yang ditampilkan oleh ZTE ini lain pula, kerana mereka telah mengumumkan bahawa peranti ZTE Nubia Z17 akan didatangkan dengan kapasiti RAM setinggi 8GB serta set cip Snapdragon 835 juga dengan storan dalaman sehingga 128GB.
Ini menjadikan syarikat ZTE berada di kedudukan nombor dua selepas syarikat Xiaomi yang memasukkan cip berkuasa sedemikian. Apa yang menarik lagi tentang spesifikasi Nubia Z17 ini, ia juga dilengkapi dengan sistem dwi-kamera 23 Megapiksel dan 12 Megapiksel yang menyokong 2x Zoom Optikal, dan 10x Zoom Digital, manakala kamera depan dimuatkan dengan 16 Megapiksel f/2.0 aperture bersama lensa lebar 80 darjah.
Dibekalkan dengan kuasa bateri 3,200mAh, ia mampu bertahan sehingga dua hari penggunaan selain teknologi pengecasan pantas Quick Charge 4.0 dimana 0% sehingga 50% cuma mengambil 25 minit sahaja. Sistem operasi mendapat Android 7.1.1 Nougat dengan UI 5.0 malah sambungan Bluetooth 5 juga diletakkan bersama.
Pembesar suara pada peranti ini pula hadir dengan Dolby Atmos yang menyalurkan bunyi yang gemersik dan fungsi IR Blaster juga memudahkan pengguna untuk mengawal alat elektronik di sekeliling. Bahagian luaran yang mendapat kemasan warna hitam/emas, hitam, emas, merah dan biru ini dilengkapi dengan fungsi kalis air IP67.
ZTE Nubia Z17 dijual pada harga CNY2,799 (kira-kira RM1,758) untuk versi RAM 6GB + 64GB ROM, versi seterusnya pada harga CNY3,399 (kira-kira RM2,135) untuk versi RAM 6GB + 128GB ROM, akhir sekali versi teratas pada harga CNY3,999 (kira-kira RM2,512) untuk versi RAM 8GB + 128GB ROM.