
Pengarah Hollywood Gunakan iPhone 7 Plus Untuk Rakaman Filem Seram Terbaru ‘Unsane’

Percaya atau tidak, seorang pengarah berpengalaman dari Hollywood iaitu Steven Soderbergh yang pernah memenangi anugerah Arahan Terbaik Oscar pada tahun 2000, bakal tampil dengan kelainan dengan menggunakan iPhone 7 Plus dalam proses penggambaran filem seram terbarunya.
Steven Soderbergh bukan satu nama yang asing kerana salah satu filem yang diarahkannya iaitu Logan Lucky kini sedang ditayangkan di panggung wayang tempatan. Walaupun pengarah Hollywood ini sememangnya terkenal kerana gemar bereksperimentasi dengan filem arahannya, penggunaan telefon pintar untuk penggambaran sebuah filem merupakan yang paling unik pernah dilakukannya.

Menurut Steven Soderbergh, penggambaran menggunakan iPhone 7 Plus ini memberikan keupayaan untuk beliau menyunting rakaman filem tersebut ketika berada di set penggambaran. Malah dengan sokongan peralatan tambahan seperti alat penstabilan dan juga lensa sinema, ia turut membantu dalam memaksimumkan kualiti gambar yang diambil.

Filem seram berjudul ‘Unsane’ yang dijangka akan mula ditayangkan pada 23 Mac 2018 nanti dikatakan mirip seperti filem Get Out yang telah ditayangkan sebelum ini. Antara pelakon yang membintangi filem yang dirakam menggunakan iPhone 7 Plus ini termasuklah Claire Foy, Juno Temple dan juga Jay Pharah.