Huawei MediaPad M3 Lite Akan Memasuki Pasaran Malaysia Jumaat Ini

Memandangkan pengguna kini lebih tertumpu pada telefon pintar, kebanyakan pengeluar tidak lagi aktif menghasilkan tablet dan memasarkannya. Dari kesempatan itu, Huawei Malaysia hari ini mengumumkan MediaPad M3 Lite akan dibawa masuk ke pasaran tempatan.

Pada harga di bawah seribu ringgit, tablet ini dilengkapi dengan paparan bersaiz 8 inci 1920 x 1200p dan memori RAM 3GB serta storan sebesar 32GB. Dioperasikan oleh EMUI 5.1, peranti ini boleh melakukan tugasan split screen dimana pengguna boleh membuka dua aplikasi dalam satu-satu masa dan Twin App membolehkan anda membuka dua akaun berbeza dalam satu aplikasi yang sama.

Huawei juga meletakkan ciri hiburan tambahan iaitu sistem dwi audio Harmon Kardon, ia mampu memainkan muzik sehingga 40 jam dan 9 jam video tanpa henti. Dari segi penggambaran pula, satu sensor kamera 8 Megapiksel dimuatkan di bahagian belakang dan juga depan. Manakala, janaan kuasa pula dibekalkan oleh bateri berkapasiti 4,800mAh.

Bagi melengkapkan ciri-ciri sebuah tablet, Huawei MediaPad M3 Lite turut menyediakan Office 365. Ini sekaligus memudahkan kerja-kerja pejabat tanpa memerlukan sebuah komputer.

Huawei MediaPad M3 Lite dijual dengan tanda harga RM999 dalam pilihan warna Gold, dan Space Gray. Setiap pembelian, anda akan membawa pulang satu sarung peranti kulit secara percuma. Pembelian boleh dibuat bermula 13 Oktober depan di semua Huawei Experience Store seluruh Malaysia.

Sementara itu, Huawei juga mengemas kini harga Huawei MediaPad M3 daripada RM1,999 kepada RM1,699. Harga yang dicadangkan ini akan berkuatkuasa 13 Oktober 2017. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, anda boleh layari Facebook rasmi Huawei Malaysia.

You might also like