
Xiaomi Mi Note 3 Dengan Dwi Kamera Dan Snapdragon 660 Diperkenalkan

Dalam majlis yang sama, seperti yang dijangka Xiaomi Mi Note 3 turut dilancarkan di samping Mi Mix 2.
Xiaomi Mi Note 3 ialah sebuah telefon pintar yang menarik untuk diperkenalkan kerana ciri dan spesifikasinya adalah lebih baik berbanding Xiaomi Mi A1. Peranti ini didatangkan dengan set cip kelas pertengahan Snapdragon 660 bersama memori 6GB dan dua versi storan 64GB atau 128GB.

Apa yang boleh disamakan dengan Mi A1 ialah kehadiran dwi kamera di belakangnya. Xiaomi Mi Note 3 mengenakan dwi sensor 12 Megapiksel dengan salah satunya ialah lensa 2x zoom telefoto yang menyokong penstabilan imej optikal. Sebaliknya, di sebelah depan pula terdapat satu sensor kamera 16 Megapiksel menawarkan ciri Adaptable AI Beautify – membantu mencatikkan wajah dalam penggambaran selfie.

Xiaomi Mi Note 3 dengan skrin bersaiz 5.5 inci ini dipadatkan dengan bateri sebesar 3,500mAh yang menyokong pengecasan pantas Quick Charge 3.0. Kelak, ia akan dijual di pasaran China terlebih dahulu dengan tanda harga RMB2,499 (RM1,611) untuk versi 6GB+64GB, sementara RMB2,899 (RM1,619) untuk versi 6GB+128GB dan akhir sekali RMB2,999 (RM1,933) untuk versi 6GB+128GB berwarna biru.

