
Xiaomi Mi Mix 2 Dilancarkan Dengan Skrin 6” Dan Snapdragon 835
Generasi kedua peranti dengan skrin hampir penuh dari Xiaomi telah diperkenalkan iaitu Mi Mix 2. Telefon pintar terbaru ini juga dipandankan dengan skrin bersaiz 5.99 inci FullHD+ (2160x1080p) dengan nisbah 18:9 berbanding 17:9 pada model terdahulu. Ini menjadikan ruang dagu di depan Mi Mix 2 lebih rapat 12% bersama sudut bucu yang lebih melengkung.
Bagi memperkasakan peranti ini Xiaomi telah memasukkan cip pemproses Snapdragon 835 bersama RAM sebanyak 6GB atau 8GB. Untuk varian 6GB, ia dimuatkan dengan storan seluas 64GB, 128GB, dan 256GB sementara varian edisi khas 8GB pula memuatkan storan 128GB sahaja – varian edisi khas dilengkapi dengan kerangka badan seramik sepenuhnya.
Mi Mix 2 dilengkapi dengan kamera tunggal 12 Megapiksel Sony IMX386 di belakang, ia juga dikatakan sama seperti yang digunakan pada model Xiaomi Mi 6 yang bercirikan OIS 4-axis (penstabilan imej optikal). Kamera depan yang terletak di bahagian bawah panel pula hadir dengan sensor 5 Megapiksel.
Bagi melengkapkan spesifikasi asas, peranti ini turut membekalkan bateri berkapasiti 3,400mAh Quick Charge 3.0, dimana saiz telah dikecilkan sebanyak 1,000mAh berbanding Mi Mix generasi pertama. Namun, dengan menggunakan set cip yang berkuasa ia dijangka lebih efisyen dan sudah tentu lebih ringan untuk dipegang.
Xiaomi Mi Mix 2 yang dioperasikan oleh MIUI 9 dan Android Nougat didatangkan dengan pilihan warna hitam pada harga RMB3,299 (RM2,126) untuk 6GB+64GB, manakala RMB3,599 (RM2,320) untuk 6GB+128GB, dan RMB3,999 (RM2,577) untuk varian tertinggi 6GB+256GB. Di samping itu, varian edisi khas 8GB+128GB berbadan seramik berwarna putih atau hitam ditawarkan pada harga RMB4,699 (kira-kira RM3,028) sebuah.