

Sony telah menambah koleksi siri speaker EXTRA BASS mereka dengan memperkenalkan GTK-XB60 dan GTK-XB90. Pembesar suara ini juga ditugaskan untuk menghemburkan bunyi yang kuat dengan bass yang mendalam. Sony juga telah mereka bentuk speaker ini dengan rekaan ergonomik supaya ia mudah untuk dibawa ke mana-mana.
EXTRA BASS yang dilengkapi dengan perkakasan dalaman yang dinaik taraf mampu menyalurkan bunyi yang berkualiti dan bertekanan tinggi. Turut dimuatkan ialah sebuah bateri tahan lama bersama tiga mod yang berbeza untuk dikonfigurasikan mengikut tempat dan kesesuaian sesuatu persekitaran.

Sony GTK-XB60 dipadatkan dengan teknologi yang membolehkan ia memainkan lagu tanpa henti selama 14 jam. Ia juga lebih mudah digunakan kerana menawarkan dua pilihan sama ada untuk menggunakan kuasa dari soket dinding ataupun mod Stamina yang menggunakan tenaga dari bateri.

Bukan itu sahaja, speaker ini juga menyokong 10 peranti tanpa wayar yang lain untuk membantu memeriahkan lagi suasana parti atau nyanyian karaoke anda.

Sementara, Sony GTK-XB90 pula memiliki rekaan yang lebih besar sedikit berbanding adiknya. Apa yang menarik ialah speaker ini lebih ceria dengan kehadiran lampu ambien yang berwarna. Masih lagi menawarkan bunyi yang kuat dan lantang, speaker ini masih mampu menghasilkan bunyi 16 jam dengan sekali pengecasan. Melalui aplikasi Fiestable pula, anda tidak lagi akan berasa bosan kerana kawalan untuk lampu ambien, gerakan, efek bunyi dan DJ kini berada di hujung jari.


Sony EXTRA BASS GTK-XB60 dan GTK-XB90 akan berada di pasaran Malaysia pada bulan Oktober depan dengan pilihan warna hitam, biru, dan merah. Buat masa ini, harga untuk kedua-duanya masih lagi belum diumumkan.

