

Acer sekali lagi tampil memperkenalkan sebuah lagi komputer riba dengan spesifikasi asas khusus kepada pengguna baru dan golongan pelajar pada harga mampu milik. Acer One 10 ini dikuasakan oleh pemproses Intel® Atom ™ x5 dan perisian Windows 10, membolehkan pengguna memilih empat daripada mod seperti, mod riba untuk menaip, mod Pad untuk kegunaan skrin sentuh, mod Tent dan mod Display untuk hiburan.

Peranti ini juga dilengkapi paparan jenis IPS HD penuh (1280×800) berukuran 10.1 inci dapat menghasilkan kepadatan warna yang konsisten dan jelas. Keluasan memori yang disediakan pada komputer riba ini menerima storan bersaiz 64GB eMMC serta terbina satu slot untuk kad microSD.

Acer One 10 ini cukup ringan untuk dibawa kemana-mana dengan berat hanya 1.27 kilogram sahaja. Disamping itu, sambungan LAN tanpa wayar 802.11b/g/n yang pantas akan memudahkan pengguna dalam mengakses internet tanpa perlu risau. Jangka hayat bateri yang dimuatkan pula menggunakan 2-cell 5,910mAh mampu bertahan sehingga 10 jam dengan sekali pengecasan.
Komputer riba yang nipis ini ditawarkan di pasaran Malaysia pada harga yang rendah RM1,099 bersama jaminan antarabangsa satu tahun.
Mulai 3 Ogos hingga 30 September, para pelanggan akan menerima baucar membeli-belah bernilai RM50 untuk mana-mana pembelian model-model Acer terpilih di bawah RM2,999. Kempen “Be Cool Everyday” boleh dilayari melalui laman sesawang Acer.

