Kenali MIUI 9 – Antaramuka Yang Lebih Bijak Dari Xiaomi

Peranti yang baik bukan sahaja hadir dengan perkakasan yang berkualiti, tetapi ia juga turut dibantu dengan perisian yang cekap. Oleh itu, sistem operasi banyak memainkan peranan dalam pengendalian serta prestasi sesuatu telefon pintar. Terbaru, Xiaomi baru sahaja mengumumkan kehadiran MIUI 9 yang kini lebih bijak, efisyen dan lebih pantas.

Menurut Hong Feng, pengasas Xiaomi, seramai lebih 280 juta pengguna dari 128 negara di seluruh dunia telah menggunakan MIUI sejak ia diwujudkan. Dari pengalaman beliau sendiri, antaramuka MIUI 9 menjanjikan pengalaman yang lebih lancar dan pantas selain beberapa ciri baru turut diperkenalkan.

Salah satunya ialah ciri pencarian imej, pengguna boleh mencari gambar di dalam dokumen, teks mesej malah teks di dalam gambar melalui pengecaman muka pintar.

MIUI 9 juga memperkenalkan ciri “Smart Assistant” yang memudahkan pengguna untuk mendapatkan informasi dan fungsi yang selalu diguna dengan mentatal skrin ke arah kiri. Dalam masa sama, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat tentang barangan kegemaran, informasi kurier, serta jadual hari ke hari.

Disamping itu, ciri “Smart App Launcher” pula dapat membuka aplikasi yang berkaitan dengan pantas berdasarkan kandungan yang tertera pada skrin. Seperti contoh, rakan anda memberikan pautan halaman produk di Lazada, anda boleh melihat lebih lanjut berkenaan produk tersebut hanya dengan menekan butang tap yang terletak di bawah skrin peranti, menarik bukan?

Dengan pengenalan ini, antaramuka baharu MIUI 9 akan tersedia di Mi 6, Mi 5X, dan Redmi Note 4X menerusi versi Beta pada 10 Ogos depan. Manakala, model yang selebihnya akan dikeluarkan secara berperingkat bermula 25 Ogos akan datang.

You might also like