
Jam Tangan Mewah Louis Vuitton Hadir Dengan Android Wear 2.0 – Ini Baru Dikatakan Stylo!
Siapa yang tidak kenal dengan jenama mewah LV dari Paris ini, sudah pasti yang membeli produk darinya adalah dari golongan yang berada. Hanya jenama sahaja membuatkan banyak pengeluar mengeluarkan produk-produk tiruan seperti beg tangan, tali pinggang, kasut dan sebagainya di jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur.
Namun, jika ianya sebuah jam tangan pintar, mungkinkah anda boleh dapatinya di tepi-tepi jalan, tidak bukan? Jadi, syarikat terkemuka yang ada ‘status’ ini telah mula menjual jam tangan pintar yang dioperasikan oleh Android Wear 2.0 pada harga sekitar USD2,900 (lebih kurang RM12,463) seutas untuk tali kulit.
Jam tangan pintar yang diberi nama The Louis Vuitton Tambour Horizon ini hadir dengan skrin sesentuh jenis AMOLED bersaiz kompak 1.2 inci berbentuk bulat. Kapasiti RAM sebanyak 512MB, dan storan seluas 4GB menjadi memori tunggal di dalam kerangka 42mm ini.
Kebolehan kalis air pula menjangkau sehingga 30 meter, dan ketahanan pada jam ini dilindungi dengan gelas sapphire di depan dan belakang panel. Seterusnya, ia dimuatkan dengan bateri 300mAh serta bagi melengkapkan spesifikasi Horizon, ia turut menerima cip pemproses Qualcomm Snapdragon Wear 2100.
Kandungan aplikasi yang terdapat di dalam badannya pula ialah My Flight dan City Guide. Kedua-dua aplikasi ini memudahkan pengguna melihat jadual dan info penerbangan serta tips mudah termasuk cadangan sebaik anda mendarat di sesuatu lokasi.
https://www.youtube.com/watch?v=LEVquHczgTo
Sama juga seperti rekaan gaya mewah pelbagai corak, The LV Tambour Horizon juga boleh dipadankan dengan pilihan 60 lebih tali mengikut citarasa pengguna. Untuk anda yang ingin kelihatan mewah dan bergaya boleh mendapatkan satu pada harga serendah USD2,450 (kira-kira RM10,529) untuk tali besi jenis tahan karat.


