
Google Melancarkan Motion Stills Di Android – Hasilkan Live Photo Dan GIF
Tahun lalu, Google telah melancarkan aplikasi Motion Stills di platfom iOS yang membolehkan anda merakam video hyperlapse dan menghasilkan GIF. Sejak dari pengenalannya, aplikasi ini menerima sambutan yang baik, seterusnya Google meneruskan dengan memperkenalkannya di platfom Android pula.
Pengguna boleh menggunakan Motion Stills untuk merakam video dan mengubahnya kepada video pendek yang mudah ditonton dan dikongsi. Selain itu, aplikasi ini juga menyokong rakaman gambar “hidup” yang diambil tiga saat sebelum dan selepas.
Rakaman yang dibuat ketika sedang menunggang basikal boleh mengakibatkan video kelihatan bergegar, oleh itu, aplikasi Motion Stills yang dilengkapi algoritma suntingan akan membantu rakaman video menjadi lebih stabil dan kemas.
Selain itu, anda juga boleh merakam video bergerak pantas dengan kelajuan 1x sehingga 8x mengikut tetapan yang diinginkan. Pemprosesan di dalam aplikasi ini akan mengstruktur semula resolusi rakaman lantas animasi GIF dapat dihasilkan.
Penggunaan Motion Stills tidak memerlukan sebarang rangkaian Internet kecuali anda ingin kongsikan rakaman kepada rakan-rakan. Jika berminat anda boleh memuat turun di Google Play bermula hari ini.

