
Acer Malaysia hari ini telah memperkenalkan beberapa produk baru mereka untuk pasaran tempatan, dan salah satunya adalah komputer meja Acer Aspire GX-281. Ia menyokong pemproses AMD Ryzen 7 1700x, DDR4 RAM sehingga 8GB, memori storan gabungan sebesar 256GB SSD + 1TB HDD dan grafik sehingga AMD Radeon RX 480, 4GB GDDR5 untuk menyempurnakan tugasan dengan grafik yang intensif serta bermain permainan komputer dalam cara terbaik.
Komputer meja ini mampu menawarkan resolusi visual luar biasa yang mencecah 4K (3840 x 2160) dan menyokong sehingga empat paparan pada satu-satu masa. Ini bagi menawarkan pengalaman bermain permainan video yang mengasyikkan serta melakukan pelbagai tugasan.
Komputer meja dengan rekaan menarik ini direka untuk melaksanakan tugasan melibatkan grafik yang intensif, perkomputeran harian dan permainan video yang agak berkuasa. Dengan storan mencecah 1TB HDD dan 256GB SSD, menyimpan fail beresolusi tinggi memang tiada masalah. Bukan itu sahaja, GX-281 juga hadir bersama reka bentuk menarik yang menampilkan kerangka seperti perisai dan lampu LED berwarna merah pada bahagian hadapannya.
Acer Aspire GX-281 ditawarkan pada harga RM 5,499 dan boleh didapati dari semua penjual sah Acer di seluruh negara. Pelanggan yang membeli Aspire GX-281 juga akan menikmati jaminan selama 3 tahun.

