Reviu Eksklusif: Infinix HOT 4 Pro, Pengalaman Audio 3D yang Sangat Imersif

HARGA: RM 599

Infinix Mobile menyambut kemasukan rasmi mereka ke Malaysia dengan melancarkan tiga model telefon pintar terbaru, Infinix Zero 4, Infinix Zero 4 Plus dan Infinix HOT 4 Pro. Menurut Infinix, Asia Tenggara merupakan pasaran bagi peranti mudah alih yang sangat baik dengan potensi perkembangan jenama dan perniagaan yang positif serta permintaan dari pengguna yang berterusan.

Mereka juga yakin bahawa peranti Infinix mampu menambat hati pengguna Malaysia berdasarkan kualiti, rekaan dan juga harga yang mereka tawarkan. Infinix HOT 4 Pro telah dikuasakan oleh Android M (XOS), serta menampilkan paparan berkualiti HD berukuran 5.5 inci. Malah kehadiran dua pembesar suara stereo berkualiti tinggi turut diserikan dengan jangka hayat bateri yang mampu bertahan selama 48 jam.

 

SPESIFIKASI

  • Sistem Operasi: Android 6.0 Marshmallow
  • CPU: MediaTek MT6737, Quad-core 1.3GHz
  • GPU: ARM Mali-T720 MP2
  • Kad SIM: Dual SIM / Micro SIM
  • Memori: 16GB ROM, 2GB RAM
  • Kad microSD: sehingga 128GB
  • Kamera Utama: 13 Megapiksel
  • Flash: LED flash
  • Auto Fokus:
  • Kamera Depan: 5 Megapiksel + Softlight
  • Radio FM:
  • Bluetooth: v4.1
  • WiFi: 802.11 b/g/n
  • NFC: X
  • Bateri: 4000mAh + Pengecasan Pantas + Mod Power Saving

 

PAKEJ PEMBELIAN

  1. Kotak Pembungkusan
  2. Infinix HOT 4 Pro
  3. Adapter pengecas
  4. Kabel USB
  5. Earphone
  6. Buku manual

 

FIZIKAL

Rekaan Premium

Infinix HOT 4 Pro menampilkan rekaan kompak dan anggun yang kelihatan premium walaupun hadir dalam kategori kelas pertengahan. Menampilkan paparan skrin berukuran 5.5 inci, ianya sangat selesa walaupun dipegang dengan sebelah tangan. Malah ketebalan kerangka sisi yang diperbuat daripada plastik masih dalam kategori nipis, iaitu 8.8mm sahaja.

Slot Kad + Bateri 4000mAh

Bagi mereka yang mempunyai lebih daripada satu SIM, peranti ini amat sesuai buat anda. Selain boleh menggunakan dua slot kad SIM dalam satu-satu masa, ia turut menyediakan kad memori tambahan microSD sehingga 128GB. Lebih menarik, ketiga-tiga slot kad ini menyokong fungsi hot-swap di mana anda tidak perlu mencabut bateri untuk meletakkan kad SIM dan microSD.

Kapasiti bateri yang besar juga nampaknya telah menjadi tren untuk peranti kelas pertengahan. Selain Xiaomi Redmi Note 4, HOT 4 Pro juga telah menawarkan kapasiti bateri yang besar, 4000mAh. Namun begitu, walaupun panel belakang boleh dibuka, tetapi bateri smartphone ini tidak boleh dikeluarkan daripada slotnya!

 

Pengimbas Cap Jari

Pengimbas cap jari yang menjadi trend pada masa kini turut diperlihatkan pada model terbaru Infinix ini yang mana terletak pada panel belakang. Selain pengimbas cap jari, turut kelihatan lensa penggambaran utama beresolusi 13 Megapiksel dan bersebelahan dengannya pula tersedia sebuah LED flash.

 

Panel Belakang

Apa yang kami suka mengenai panel belakang smartphone ini adalah ia menawarkan textile bercorak yang unik? Tapi tahukah anda textile ini diilhamkan oleh kraf sutera budaya oriental purba. Ia bukan sahaja kelihatan cantik, malah rekaan sebegini dapat mengurangkan masalah kesan cap jari pada panel belakang peranti anda.

 

APA YANG COOL?!

Pengimbas Cap Jari

Bagi yang mementingkan aspek keselamatan smartphone daripada diakses oleh individu yang tidak diingini, HOT 4 Pro satu pilihan yang terbaik buat anda. Berbeza dengan pengimbas cap jari sebelum ini, kini ia menyediakan akses pengimbas cap jari yang pantas. Lebih istimewa, fungsi pengimbas cap jari ini boleh digunakan untuk lima menu yang berbeza.

 

3D Stereo Surrounding

Salah satu ciri utama pada HOT 4 Pro adalah kualiti bunyi. Model ini dilengkapi Dirac yang mampu memberikan pengalaman audio 3D yang sangat baik dan imersif. Kini, mendengar muzik dan juga menonton video di kawasan persekitaran yang bising bukan lagi masalah dengan adanya teknologi 3D Stereo Surrounding.

 

Penggambaran

Walaupun hadir dalam kategori kelas pertengahan, smartphone ini menyokong lensa kamera yang masih memuaskan iaitu beresolusi 13 Megapiksel dengan bantuan auto fokus dan juga LED flash. Malah sokongan lensa hadapan beresolusi 5 Megapiksel beberapa mod seperti Face beauty, Normal dan WideSelfie sangat sesuai untuk penggambaran berkumpulan.

 

Bateri Mampu Bertahan 2 Hari

Tidak hanya menyokong bateri yang besar iaitu berkapasiti 4000mAh, istimewanya HOT 4 Pro turut hadir dengan sokongan mod yang dipanggil XPower. Apabila mengaktifkan mod Xpower, hanya beberapa fungsi yang boleh digunakan seperti Phone, Messages, Notes, Calculator, Recoder dan juga Clock, yang mampu bertahan selama 2 hari.

 

XManager

Tanpa perlu menggunakan aplikasi pihak ketiga yang akan menggunakan ruang storan peranti anda, HOT 4 Pro yang dioperasikan dengan Android M (XOS) telah didatangkan dengan aplikasi yang dikenali sebagai XManager. Aplikasi pra-pasang ini membantu anda mengurus peranti seperti memastikan sistem sentiasa dioptimumkan, memantau trafik data, memadam fail yang tidak diperlukan dan pelbagai lagi.

 

PERBANDINGAN SPESIFIKASI

Apabila memiliki bajet yang agak terhad untuk membeli smartphone, sudah tentunya anda menginginkan sebuah model yang menyokong spesifikasi terbaik dan berbaloi dengan harganya. Jadi dengan meletakkan bajet harga sebagai kriteria utama, kami akan membandingkannya HOT 4 Pro dengan tiga lagi model pesaing terbaru yang dijual pada harga yang setanding iaitu Flash Plus 2, Honor 5A dan juga Meizu M5. Berdasarkan kepada perbandingan spesifikasi ini, adakah HOT 4 Pro mampu memenangi hati anda berbanding pesaingnya?!

HASIL GAMBAR

Indoor
Night Mode-Off
Night Mode-On

 

KOMEN EDITOR

Inginkan smartphone yang menawarkan bateri besar pada harga rendah? Infinix HOT 4 Pro adalah pilihan yang tepat untuk anda miliki! Istimewanya dengan harga serendah RM 599, anda boleh memiliki peranti dengan bateri berkapasiti 4000mAh yang mampu bertahan selama 48 jam (2 hari).

Kehadiran beberapa aplikasi menarik pada peranti ini dilihat sebagai satu kelebihan buat peranti ini seperti 3D Stereo Surrounding, XPower, XManager, XShare dan beberapa lagi. Malah dengan harga mampu milik, anda juga boleh memiliki peranti dengan sokongan pengimbas cap jari yang pantas, audio bunyi yang berkualiti serta rekaan premium.

You might also like