
OxygenOS dan HydrogenOS Kini Di Bawah Satu Bumbung
OnePlus terkenal kerana menawarkan peranti dengan perkakasan berspesifikasi tinggi pada harga mesra ekonomi untuk pengguna, kehebatan mereka dari segi penawaran perkakasan sememangnya tidak dapat dinafikan. Namun mereka agak ketinggalan dari segi perisian, beberapa pendapat menyatakan bahawa ini adalah kerana mereka mempunyai dua divisyen berbeza untuk sistem operasi peranti OnePlus.

Untuk pengetahuan anda, OnePlus mempunyai dua sistem operasi yang ditawarkan pada peranti mereka. OxygenOS digunakan untuk peranti OnePlus yang dijual di luar negara China, manakala pengguna China pula mendapat model OnePlus dengan sistem operasi HydrogenOS. Percanggahan ini menyebabkan OnePlus sedikit ketinggalan dalam pembangunan sistem operasi dan penawaran kemas kini.

OnePlus menyedari hal ini dan bercadang untuk membawa kedua-dua sistem operasi di bawah satu bumbung bagi menyelaraskan operasi keseluruhan pembangunan. Ini sekaligus memudahkan pembangun perisian OnePlus menawarkan antaramuka sistem operasi yang lebih baik dan juga kemas kini yang lebih pantas.

