
Apple Masih Belum Membuat Keputusan Tentang Pengimbas Cap Jari Di iPhone 8
Agak pelik tindakan yang dilakukan oleh Apple ini, mana tidaknya mereka masih belum tentukan lagi kedudukan Touch ID pada iPhone edisi khas sempena 10 tahun miliknya. Peranti yang ditunggu-tunggu ini dijadualkan diperkenalkan selewat-lewatnya bulan Oktober tetapi ia masih samar-samar lagi. Tempoh untuk pengeluaran di industri juga bukan mengambil masa yang singkat.
Apple nampaknya sangat berhati-hati dan tidak tergopoh-gopoh dalam membuat keputusan, kerana Apple perlu mengambil tiga langkah sebelum ianya dilaksanakan. Pertama, memikirkan tentang gelas yang akan meliputi kawasan pengimbas cap jari. Kedua, menebuk gelas untuk sensor ultrasonik ataupun sensor optikal. Ketiga, memasukkan teknologi infra merah ke dalam paparan skrin. Kesemua ini perlu dititik beratkan supaya kualiti dan prestasi iPhone tidak terjejas.

Menurut Timothy Acuri daripada syarikat Cowen yang bekerjasama dengan Apple mengatakan , anak-anak didik Steve Jobs tidak akan meletakkan pengimbas cap jari di bahagian panel belakang kerana mereka mahu pengguna iPhone berasa selesa selain mudah untuk digunakan.