MWC 2017: Cas Pantas 50% Dalam Masa 15 Minit? Meizu Cakap Tu Tak Cukup Power!

Pengeluar smartphone sedar bahawa bukan setakat kemampuan cip, kapasiti dan kualiti skrin sahaja yang mampu menarik pengguna membeli peranti mereka. Komponen bateri juga memainkan peranan penting di dalam pilihan pengguna, oleh itu kita dapat melihat jenama seperti OPPO melaburkan wang dan masa membangunkan teknologi cas pantas, di samping itu banyak juga jenama yang bersandar kepada teknologi Quick Charge yang dibangunkan Qualcomm.

Perlumbaan teknologi bateri bakal menjadi lebih menarik dengan pengumuman yang dilakukan Meizu di acara MWC 2017. Syarikat tersebut melakukan demonstrasi Super mCharge telefon pintar dengan kapasiti bateri 3000mAh. Dalam tempoh lima minit sahaja bateri sudah dicas sehingga 30%, 60% dalam 10 minit, 85% dalam masa 15 minit, dan telah dicas sepenuhnya dalam masa 20 minit.

Meizu mendakwa bahawa Super mCharge adalah lebih selamat berbanding dengan pesaing-pesaingnya dan mempunyai kuasa pengecasan 55W, yang dihantar melalui kabel data direka semula yang boleh menyokong sehingga 160W.

Super mCharge mengoptimumkan bekalan kuasa ketika dicas sambil mengekalkan suasana yang selamat. Suhu tertinggi yang direkodkan ketika proses mengecas adalah pada 39°C, jadi pengguna masih dapat menggunakan peranti dengan selamat ketika peranti dicas.

Meizu masih belum mengumumkan tarikh pelancaran teknologi ini dan peranti apakah yang akan disiapkan dengan Super mCharge.

You might also like