
U Mobile Malaysia telah menjalin kerjasama dengan DOCOMO Digital untuk membolehkan anda membeli pelbagai perkhidmatan digital dalam talian menerusi pelan telefon mudah alih masing-masing. Mulai saat ini, para pelanggan U Mobile boleh membeli pelbagai produk berasaskan digital daripada platform seperti Google Play Store walaupun tidak memiliki kad kredit atau kad debit. Pelanggan prabayar boleh membeli dengan menggunakan kredit sedia ada, manakala caj pembelian akan disertakan dalam bil bagi pelanggan pascabayar.
U Mobile memilih untuk menjalin kerjasama dengan DOCOMO Digital, kerana mereka mempunyai rekod yang sangat cemerlang penyediaan teknologi Carrier Billing di pelbagai negara seperti Australia, Jepun dan beberapa negara Eropah.
Ketua Pegawai Pemasaran U Mobile, Jasmine Lee berkata bahawa ini cuma salah satu daripada pelbagai perkhidmatan baharu yang dibawakan oleh U Mobile untuk memanfaatkan para pelanggan yang celik digital.

