
Japan Display Bersedia Untuk Memperkenalkan Paparan LCD Boleh Lentur
Japan Display, salah satu pengeluar utama skrin untuk iPhone, sudah bersedia menawarkan paparan LCD fleksibel yang akan menjadi pesaing utama paparan OLED fleksibel yang digunakan dalam peranti seperti siri Samsung Edge. Malah, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Japan Display, skrin LCD fleksibel dijangka akan sedia dipasarkan pada tahun 2018.
Menurut laporan daripada Wall Street Journal, paparan fleksibel LCD diperbuat daripada lapisan plastik yang menggantikan lapisan kaca yang biasa digunakan waktu kini. Japan Display menyatakan bahawa mereka sudah mempunyai beberapa klien yang bersedia untuk membeli komponen ini apabila ianya sudah tersedia. Salah satu klien semasa Japan Display, iaitu Apple dikhabarkan akan melengkapkan iPhone 8 dengan paparan OLED, namun terdapat potensi paparan LCD boleh lentur akan digunakan untuk model midrange iPhone.
Japan Display telah lama bersaing dengan syarikat-syarikat dari China dan Korea, dan telah dikritik hebat kerana lambat turut serta dalam penghasilan paparan OLED yang menjadi pilihan utama pengguna masa sekarang. Kini, syarikat tersebut juga sudah bersedia menghasilkan paparan jenis OLED yang boleh dibeli pihak pengeluar untuk peranti pintar mereka.

