
PJ9, Speaker Terapung LG
Speaker terapung adalah antara koleksi peranti yang menarik dapat dilihat sepanjang tahun 2016. Jika anda kerap melayari laman ulasan dan produk audio, anda pasti perasan bahawa peranti audio terapung cukup laris sepanjang tahun ini. Terdapat pelbagai pilihan yang menarik dapat dilihat, ada yang berbentuk kapal angkasa Death Star, ada yang mampu mengeluarkan efek cahaya dan bermacam-macam lagi. Pada CES yang akan berlangsung tidak lama lagi, LG akan menunjukkan speaker terapung versi mereka dikenali sebagai PJ9.
PJ9 mempunyai bateri yang mampu membekalkan kuasa operasi selama 10 jam dan ia juga menyokong sistem pengecasan tanpa wayar. Selain itu, peranti audio ini dikelaskan sebagai IPX7 bermakna ia tiada masalah untuk digunakan di kawasan luar. PJ9 juga mempunyai speaker omnidirectional 360 darjah dengan reka bentuk diinsipirasikan dari turbin yang membolehkan bunyi tersebar dengan baik ke semua arah.
LG tidak memberikan sebarang maklumat harga atau tarikh jualan. Apa yang kami tahu adalah PJ9 akan dipamerkan di booth pameran LG semasa CES 2017 minggu hadapan.

