
Kanak-Kanak Guna Touch ID iPhone Ibu Untuk Membeli Belah Sehingga RM 1,120
“Ini satu kisah menarik yang kami ingin kongsi bersama anda”
Bethany Howell dilaporkan sedang tidur di sofa rumahnya apabila anak perempuannya, Ashlynd, mengambil iPhone dia dan menggunakan ibu jari ibunya untuk mendapatkan akses ke dalam smartphone tersebut. Kanak-kanak berusia enam tahun itu kemudiannya masuk ke dalam aplikasi membeli-belah Amazon dan membelanjakan sehingga USD 250 (kira-kira RM1,120) untuk mendapatkan pelbagai barangan bertemakan Pokemon.
Howell pada mulanya menyangka akaunnya telah digodam, namun akhirnya menyedari bahawa “kerja” itu dilakukan anak perempuannya. Howell mengatakan bahawa Ashlynd tidak berasa bersalah, malah berasa gembira dengan apa yang dilakukannya.
Howell kemudiannya cuba untuk mendapatkan tebusan wang dengan memulangkan barangan yang dibeli, namun hanya berjaya memulangkan 4 daripada keseluruhan tempahan pembelian. Akhirnya, Howell memberitahu anaknya bahawa kesemua hadiah tersebut datang dari Santa.
Ini adalah kes yang cukup menarik kerana ia memperlihatkan kelemahan di dalam sistem membeli-belah secara atas talian. Semakin banyak aplikasi menggunakan log masuk ibu jari sebagai akses utama dan dengan mudah pembelian dapat dilakukan tanpa si pemilik menyedarinya. Bayangkan sahaja ibu yang sedang lena tidur tidak menyedari bahawa si kecil dengan mudah mendapatkan akses kepada akaun membeli belahnya. Adakah perlu sistem keselamatan kedua bagi setiap transaksi pembelian atas talian? Apa pendapat anda?