
Apple AirPods, Hampir Mustahil Untuk Dibaiki
AirPods merupakan antara peranti yang hangat diperkatakan pada tahun ini. Kepopularan peranti ini adalah hasil tindakan Apple yang membuang audio jack pada peranti iPhone 7 / 7 Plus dan AirPods menjadi peranti audio menggantikan EarPods yang menggunakan sambungan wayar.
Dengan harga jualan yang tinggi, AirPods merupakan satu risiko kewangan kepada kebanyakan pengguna dan salah satu aspek yang kerap dipersoalkan adalah ketahanan peranti ini. Anda pastinya ingin memiliki peranti yang tahan lama setelah berbelanja RM 849, namun bagaimana pula kalau perkara yang tidak boleh dielakkan terjadi dan AirPods ini rosak. Adakah ianya boleh dibaik pulih?
Menurut iFixIt, sebuah laman rujukan baik pulih, AirPods dari Apple hampir mustahil untuk dibaik pulih. Komponen di dalam AirPods dan bekas pengecas khas amat sukar untuk dikeluarkan dan risiko untuk merosakkan komponen-komponen tersebut amat tinggi, lantas menjurus kepada pemberian skor 0/10 untuk kadar boleh baik pulih peranti dari iFixIt.
Jadi jika anda bercadang atau pun sudah memiliki AirPods, beringatlah agar untuk menggunakannya secermat mungkin.