
Android Wear 2.0 Akan Hadir Tidak Lama Lagi Dengan Dua Smartwatch Terbaru
Google akan melancarkan dua jam tangan pintar berstatus flagship pada suku pertama tahun hadapan, berita ini dikongsikan Jeff Chang, pengurus produk Android Wear, Google di dalam sebuah temu bual eksklusif. Menurut Chang, kedua-dua jam tangan terbaru itu akan menjadi jam tangan pintar pertama yang menggunakan Android Wear 2.0 apabila ia dilancarkan kelak.
Bertentangan dengan speskulasi ramai pihak, jam tangan tersebut tidak akan mempamerkan sebarang penjenamaan dari Google atau Pixel, tetapi ia akan dijenamakan oleh syarikat yang bertanggungjawab menghasilkan jam tangan tersebut. Chang berkata Google akan bekerjasama dengan pihak pengeluar, namun beliau enggan menamakan pengeluar yang dimaksudkan buat masa kini.
Android Wear 2.0 akan membawakan beberapa ciri baru, termasuk aplikasi kendiri (standalone) yang tidak memerlukan telefon untuk bekerja, sokongan untuk Android Pay, dan sokongan untuk Google Assistant yang telah dilancarkan pada telefon pintar Pixel.