
HARGA: RM 580
Tidak dapat dinafikan bahawa kamera aksi kini menjadi salah satu peranti yang penting dalam gaya hidup moden, terutamanya bagi golongan muda yang aktif. Namun, tag harga yang tinggi bagi kebanyakan kamera aksi di pasaran membuatkan ramai pengguna berkira-kira dalam melakukan pembelian. Sekiranya anda mencari-cari sebuah kamera aksi ekonomi, mungkin ViDi adalah peranti yang anda cari, ia hanya dijual pada harga RM 580. Baca ulasan kami untuk mengenali dengan lebih dekat kamera aksi ekonomi ini.
PAKEJ
ViDi dijual di dalam sebuah pakej yang dilengkapi pelbagai aksesori asas sebuah kamera aksi. Bagi setiap pembelian, anda akan mendapatkan sebuah kamera aksi ViDi, perumah kalis air, kad MicroSD 4GB, kabel USB dan sebatang selfie stick.
SPESIFIKASI
| Paparan | LCD 1.5 inci | |
| Sensor | Low Light 2MP CMOS | |
| Lensa | 140° Wide Angle | |
| Digital Zoom | 4X | |
| Resolusi | Video | 1080p 30fps, 720p 30fps |
| Gambar | 12 megapiksel (maksimum) | |
| Format | Video | MOV, DSP, MP4 |
| Gambar | JPEG | |
| Memori | Luaran (MicroSD, sehingga 64GB) | |
| Sambungan | USB | |
| Sokongan OS | MacOS, Windows | |
| Bateri | Waktu operasi sehingga 90 minit bagi satu kitaran penuh | |
| Dimensi | 2.69 x 1.89 x 1.25 inci | |
FIZIKAL
Fizikal merupakan aspek pertama yang kebiasaannya dititikberatkan pengguna dalam pemilihan kamera aksi. Bahagian badan ViDi dibina dengan menggunakan plastik, ia merupakan bahan biasa yang digunakan pada kamera aksi, seperti yang digunakan pada kamera GoPro. Kami menyarankan anda menggunakan perumah kalis air yang didatangkan sekali ketika pembelian, kerana peranti nampak seperti mudah calar, tambahan pula perumah tersebut akan mengurangkan impak jikalau peranti terjatuh.
Dari segi reka bentuk pula, ViDi sedikit berbeza dari kamera aksi lain. Ia mempunyai tapak yang lebih lebar dari bahagian atas, reka bentuk ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Tapak asas yang lebar memberikan kamera ini kestabilan apabila diletakkan di mana-mana permukaan rata. Selain itu, ia memberikan keselesaan ketika digunakan, peranti dapat digenggam dengan erat dan mudah.
Panel paparan berukuran 1.5 inci terletak pada bahagian belakang peranti, ianya sedikit kecil jika dibandingkan dengan peranti lain di pasaran. Namun, anda masih boleh dapat melihat dengan baik gambar dan video yang telah dirakam melaluinya.
Segala operasi kamera pula dilakukan melalui butang yang disediakan pada bahagian atas. Setiap butang ditandakan dengan ikon yang menunjukkan tugasan. Amat mudah untuk memahami cara pengendalian kamera ini, ditambah pula dengan sistem antaramuka yang minimal. Anda akan dapat mengendalikan kamera ini dengan mudah setelah menggunakannya dalam masa beberapa minit.


KUALITI GAMBAR
Berikut adalah beberapa gambar yang diambil menggunakan kamera ViDi. Berdasarkan hasil gambar tersebut, kami mendapati bahawa gambar sedikit grainy, namun subjek dalam imej masih lagi kelihatan jelas.


Warna dan butiran imej kelihatan baik ketika tangkapan dilakukan di kawasan yang mempunyai sumber cahaya yang cukup.


Subjek masih mampu ditangkap dengan baik, namun terdapat perbezaan kualiti apabila tangkapan dilakukan ketika malam atau di kawasan yang mempunyai cahaya terhad.
Pro
- Harga mampu milik
- Fungsi asas tangkapan gambar dan
video beresolusi tinggi. - Hadir dengan pakej asas lengkap.
- Terapung di permukaan air.
Kontra
- Tiada fungsi pemindahan fail melalui aplikasi smartphone.
- Kualiti sedikit kurang ketika merakam atau menangkap gambar dengan keadaan lowlight.
Rumusan
Kamera ViDi merupakan satu alternatif kamera aksi ekonomi yang baik. Ia dilengkapi fungsi dan ciri asas sebuah kamera aksi seperti tahan lasak, kalis air, rakaman video dan tangkapan gambar. Walaupun begitu, kualiti gambar dan video sedikit kurang dari jenama premium lain di pasaran, ini sudah dijangka memandangkan ia berada di kelas harga yang berbeza. Jika anda mahukan sebuah kamera aksi ekonomi untuk merakam memori ketika melakukan aktiviti luar, mungkin ViDi patut ada dalam senarai pertimbangan anda.



