Huawei Mate 9 Versi Porsche! Biar Betul Ni?
Mestilah betul, tak ada yang mustahil dalam dunia teknologi hari ini. Tadi kami ada kongsikan berita pelancaran Huawei Mate 9 kan, sebenarnya terdapat satu variasi istimewa Mate 9 yang dilancarkan bersama-sama versi biasa. Versi istimewa ini adalah hasil kerjasama Huawei dengan pengeluar kereta, Porsche, haa bukan calang-calang jenama tau.
Dari segi rekaan, Huawei Mate 9 Porsche Design sememangnya nampak sangat cantik, premium, mewah dan juga menggiurkan. Bahagian hadapannnya nampak agak sama dengan Galaxy Note7, dengan skrin melengkung di kedua-dua sisi dan pengesan cap jari di bahagian bawah. Kalau dah cantik, apa salahnya kan kalau rekaan Galaxy Note7 dijadikan rujukan.
Warna hitam yang dikenakan kepada peranti ini memberikan rasa premium dan kelas tersendiri, nampak sungguh maskulin. Bahagian belakang pula dilengkapi kamera sama yang ada pada Mate 9, kamera dwi-lensa dari Leica yang semua tahu kehebatannya dalam mengambil gambar.
Perbezaan lain di antara Mate 9 dan Mate 9 Porsche Design adalah dari segi spesifikasi dalaman. Mate 9 Porsche Design dilengkapi skrin beresolusi 2K, manakala versi biasa pula hanya menggunakan skrin resolusi FHD. Bahagian cip pemproses pula tidak beruabah pada Mate 9 Porsche Design, kedua-dua peranti ini menggunakan cip Huawei Kirin 960 octa-core, namun versi Porsche sedikit istimewa dengan kapasiti RAM yang lebih besar, iaitu 6GB berbanding 4GB pada versi biasa.
Perbezaan terakhir dan mungkin yang paling penting mestilah pada harga, kalau dah pakai nama Porsche mestilah mahal. Mate 9 dijual pada harga €699 (kira-kira RM3239), manakala Mate 9 Porsche Design pada harga €1395 (kira-kira RM6492.82), fuhhh ni bukan berlubang poket, ni dah tahap boleh jual organ terus ni!