
ResQ Club, sebuah organisasi startup dari Finland yang telah bertapak di lebih daripada 22 bandar sekitar Eropah telah menjejakkan kaki mereka ke Asia. ResQ Club mengetuk pintu pasaran Asia dengan Malaysia menjadi negara pertama, di mana lebih 30 lokasi restoran di Kuala Lumpur dan Lembah Klang menjadi kelompok perniagaan pertama yang bekerjasama dengan ResQ Club.
Jadi apakah matlamat ResQ Club? Ianya bermula dengan niat baik mereka di belakang tabir untuk mengelakkan pembaziran makanan. Tahukah anda bahawa walaupun negara kita sedang berhadapan dengan ekonomi yang mencabar, dalam masa yang sama kita membazirkan 15,000 tan makanan setiap hari. Di sinilah peranan ResQ Club hadir, di mana mereka mahu mengurangkan pembaziran, lantas membolehkan orang ramai menikmati makanan pada harga yang jauh lebih murah dan juga menyelamatkan alam sekitar dari pembuangan sisa organik yang berlebihan.
Aplikasi ResQ Club boleh dimuat turun pada peranti iOS dan Android. Dengan aplikasi ini pengguna dapat menyelamatkan makanan yang berkualiti dari dibuang dengan membelinya pada harga diskaun sehingga 70%. Konsep aplikasi ResQ Club mendapat pengiktirafan dari organisasi “hijau” dan dinamakan sebagai finalis untuk Anugerah Green Alley 2016.
Anda akan menerima dari aplikasi tentang tawaran makanan berlebihan dari restoran dan kafe yang mengambil bahagian. Dari dalam aplikasi, anda juga boleh menetapkan diet dan bahan makanan yang anda gemari, supaya memudahkan aplikasi untuk menuras pilihan. Selain itu anda boleh menetapkan jarak serta lokasi yang menjadi pilihan anda untuk mendapatkan makanan.

