
Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) dengan bangganya mengumumkan bahawa mereka adalah penaja utama bagi pusingan kelayakan Digi ESL One yang akan bermula hujung minggu ini.
ESL One adalah kejohanan antarabangsa e-sukan terbesar dan paling berprestij dengan beberapa judul permainan video dipertandingkan, termasuk permainan popular, Dota 2. ESL One disamakan seperti Piala Dunia versi e-sukan dan ini adalah kali pertama pusingan kelayakan Dota 2 dan pusingan akhir diadakan di Malaysia. ESL One, Dota 2 menawarkan jumlah hadiah sebanyak USD $ 250,000 (RM 1,115,562).
Pusingan kelayakan tempatan Digi ESL One akan diadakan secara berperingkat di seluruh negara dengan pusingan pertama bermula hujung minggu ini. Pemenang daripada fasa pertama meneruskan langkah ke fasa kedua sebelum menjadi juara kebangsaan untuk mewakili Malaysia di peringkat akhir global yang akan diadakan di Arena of Stars Resort World Genting dari 6 Januari sehingga 8 Januari 2017.
Digi juga akan menganugerahkan pasukan yang memenangi pusingan kelayakan tempatan dengan perjanjian penajaan untuk membantu menyediakan mereka bagi bersaing dengan pemain lain pada peringkat akhir global.
Bagi mereka yang ingin menonton pertandingan ini, selain daripada pergi ke lokasi kejohanan anda juga boleh menonton secara langsung melalui YouTube Gaming, Tonton atau Twitch. Bagi pengguna Digi Prepaid LiVE, pada masa inilah anda boleh memanfaatkan sebaiknya kuota streaming 8GB percuma untuk menonton pasukan kegemaran anda bermain. Di samping itu, pengguna Digi Prepaid LiVE juga berpeluang untuk memenangi tiket VIP untuk menonton kejohanan ini, butiran pertandingan akan diumumkan tidak lama lagi.