
Selepas Samsung, Kini Giliran Peranti Apple Pula Meletup!
Seorang individu yang menggunakan nama ‘Kroopthesnoop’ baru-baru ini memuat naik gambar telefon pintarnya di laman Reddit, mengadu bahawa iPhone 7 miliknya meletup, lapor Tech Times. Dia telah menunjukkan bahagian depan peranti itu terbuka selepas dipercayai terbakar.
Difahamkan, Kroopthesnoop telah membuat pembelian secara online di laman Apple dan penghantaran dibuat oleh syarikat kurier, UPS. Namun sebaik menerima penghantaran tersebut, dia terkejut apabila mendapati iPhone 7 itu berada dalam keadaan terbuka dan hangus terbakar.
“Saya tidak pasti tetapi ada sesuatu yang berlaku sama ada di kilang ataupun semasa proses penghantaran,” kata pemilik iPhone tersebut.
Berdasarkan gambar yang dikongsikan, besar kemungkinan iPhone 7 itu terbakar/meletup berpunca dari masalah bateri, seperti yang sama terjadi pada Samsung Galaxy Note7 baru-baru ini. Difahamkan, ini merupakan aduan pertama yang melibatkan model iPhone 7, sehingga artikal ini ditulis, baik Apple mahupun UPS tidak memberi sebarang reaksinya berhubung isu ini.


