
Samsung Kembali Dengan Galaxy TabPro S Edisi Emas
Walaupun pihak Samsung masih berusaha mencari punca masalah berlakunya letupan pada Galaxy Note7, tetapi ini tidak mempengaruhi Samsung untuk terus melancarkan peranti barunya. Baru-baru ini pihak Samsung telah memperkenalkan Galaxy TabPro S terbaru mereka, sebuah peranti 2-dalam-1 yang hadir dengan spesifikasi lebih baik dan tentunya pilihan warna baru.
Samsung Galaxy TabPro S Gold Edition ini merupakan peranti 2-dalam-1, di mana ia akan hadir bersama satu papan kekunci tambahan. Dilengkapi dengan Windows 10 dan Intel Core M3 2.2GHz, tablet ini turut dipertingkatkan dengan memori sebesar 8GB RAM dan 256GB ROM, berbanding model sebelumnya yang hanya hadir dengan 4GB RAM dan 128GB ROM.
Selain paparan skrin yang berukuran 12 inci Super AMOLED, beresolusi 2160 x 1440 piksel, TabPro S juga menawarkan 5 Megapiksel bagi kamera utama dan hadapan. Walaupun spesifikasi ini agak ketinggalan pada masa kini, tetapi ia masih mampu membuat rakaman video beresolusi HD penuh (1920 x 1080), serta menonton video dalam 4K resolusi. Menurut Samsung, kapasiti bateri adalah 5200mAh yang mampu bertahan selama 10 jam untuk menonton video.
Harga jualan bagi Samsung Galaxy TabPro S adalah USD 999.99, kira-kira RM 4218.18. Adakah peranti ini akan memasuki pasaran Malaysia, kita nantikan pengumuman dari Samsung Malaysia.

