
Spectacles, Cermin Mata Untuk Kaki Video Dan Gambar Dari Snapchat
Kami bukanlah pengguna tegar media sosial berasaskan gambar dan video seperti Snapchat, namun kami cukup terkejut dan kagum dengan berita bahawa Snapchat menghasilkan cermin mata dengan kamera siap terbina dikenali sebagai Spectacles.
Cermin mata dengan kamera bukanlah sesuatu yang baru, sebelum ini kita sudah melihat Google Glass dibangunkan, namun Spectacles sedikit berbeza dengan peranti sebelum ini kerana ia lebih fokus kepada fungsi media sosial.
Spectacles boleh merakam video berdurasi 10 saat, namun anda boleh memanjangkan tempoh rakaman sehingga 30 saat dengan menyentuh butang rakaman setiap 10 saat. Apabila anda sedang merakam, satu lampu akan dipancarkan dari bahagian hadapan cermin mata untuk memberikan notifikasi kepada orang sekitar anda. Lampu ini juga akan digunakan sebagai indikasi status bateri cermina mata. Fail rakaman dan gambar kemudiannya akan dihantar ke smartphone menggunakan sambungan Bluetooth dan juga WiFi.
Untuk mengecas Spectacles, anda perlu menggunakan casing khas yang disediakan, dan menurut Snapchat, satu kitaran bateri penuh mampu mengoperasikan Spectacles untuk sehari. Peranti ini dikhabarkan akan dijual pada harga USD 130 (RM 540), namun tidak dapat dipastikan sama ada ianya akan dijual dalam pasaran tempatan.

