
Salah satu tarikan dalam pelan pascabayar MaxisONE adalah pemberian Spotify Premium percuma kepada pelanggannya. Tetapi baru-baru ini ramai pelanggan MaxisONE yang menerima kejutan.
Melalui SMS yang dihantar, Maxis memberitahu ingin menghentikan perkhidmatan Spotify Premium percuma kepada pelanggan MaxisONE. Jika pengguna MaxisONE ingin terus menggunakan perkhidmatan ini, mereka akan dicaj kadar biasa RM14.90/bulan di dalam bil. Sedangkan pelanggan Maxis yang lain, boleh melanggan Spotify Premium pada kadar RM9.90/bulan sahaja. Bukan itu sahaja, kuota penggunaan streaming Spotify di Maxis juga telah dikurangkan kepada 3GB berbanding 15GB sebelum ini.
Buat masa sekarang, laman Spotify di Maxis masih belum menunjukkan sebarang perubahan, tetapi sudah ramai pengguna MaxisONE telah menerima SMS. Tetapi agak menghairankan, kerana Spotify merupakan salah satu tawaran terbaik diberikan oleh Maxis.
Jika anda berminat untuk untuk terus menggunakan Spotify Premium, apa kata anda melanggan pelan Family Spotify . Ianya jauh lebih murah kerana menawarkan langganan 6 akaun premium pada harga RM22.40/bulan. Tiada kuota streaming percuma yang ditawarkan, tetapi lagu boleh dimuat turun terlebih dahulu dan boleh didengar pada bila-bila masa sahaja.

