
Seorang jurukamera Bernama News Channel (BNC) melecur di paha kiri apabila powerbank yang diletakkan di dalam beg terbakar secara tiba-tiba. Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Awie, 43, berkata ketika kejadian dia sedang bertugas untuk membuat liputan berita di satu majlis di Chow Kit. Ketika sedang duduk di kerusi sambil memangku beg di atas paha, tiba-tiba seorang wanita menjerit apabila melihat begnya terbakar di bahagian bawah.
Dia kemudian mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Taman Melawati akibat melecur teruk di bahagian paha kiri. Menurut Awie, powerbank itu hadiah yang diterimanya semasa membuat liputan dan baru menggunakannya semalam. Akibat daripada kejadian itu, separuh paha kirinya melecur, dua pen drive di dalam beg juga hangus manakala beg tersebut berlubang di bahagian bawah akibat kesan terbakar.
Petikan Sumber: BERNAMA

