Samsung Keluarkan Tablet The Lego Ninjago Movie Khas Buat Anak-anak Kecil

Zaman globalisasi ini kanak-kanak dan peranti pintar tidak dapat dipisahkan. Ia seolah-olah alat yang wajib dipegang dan dimain setiap hari. Menyedari hakikat itu, Samsung hari ini memperkenalkan Galaxy Kids Tablet 7.0 The Lego Ninjago Movie Edition kepada umum.

Patung kecil Lego yang menghiasi kerangka belakang tablet berwarna hijau ini diilhamkan dari filem “The Lego Ninjago Movie” yang akan ditayangkan di pawagam bermula 22 September depan. Tablet yang dilengkapi dengan skrin bersaiz 7 inci ini hadir dengan pemproses empat-teras 1.3 GHz Spreadtrum SC8830, RAM 1GB, dan storan dalaman 8GB yang menyokong ruang tambahan sehingga 32GB.

Sistem operasinya pula dijana oleh Android 4.4.4 Kitkat bersama kamera utama 2 Megapiksel serta kapasiti bateri sebesar 3,600mAh. Bagi mengelakkan kanak-kanak berasa bosan, kerangka tablet ini direka supaya boleh dibuka untuk sebarang pengubahsuaian.

Tablet yang dijenamakan semula daripada model Galaxy Tab 3 Lite 7.0 VE (2015) ini dibekalkan dengan kandungan permainan dan pembelajaran dari DreamWorks Animation, Sesame Street, dan National Geographic. Untuk itu, setiap pembelian akan menerima tiga bulan langganan Samsung Kids secara percuma.

Samsung Galaxy Kids Tablet 7.0 The Lego Ninjago Movie Edition akan dijual bermula Oktober akan datang dengan tanda harga $149.99 (lebih kurang RM628) seunit.

You might also like