
Sebelum ini Honor telah memperkenalkan model 5X di pasaran tempatan, tetapi tidak dinafikan sokongan paparan skrin besar yang mencecah sehingga 5.5 inci tidak begitu digemari oleh sesetengah pengguna. Jadi bagi memenuhi kehendak pengguna yang inginkan sebuah peranti bajet dengan paparan skrin yang lebih kecil, Honor 5C telah diperkenalkan di pasaran. Selain daripada saiz kerangka yang tampil lebih kompak, Honor 5C juga telah dikuasakan oleh pemproses terbaru iaitu HiSilicon Kirin yang menjanjikan prestasi yang lebih baik melalui sokongan semikonduktor jenis 16nm FinFET+.
HARGA: Silver & Grey – RM799
Gold – RM849
SPESIFIKASI
Sistem Operasi: Android 6.0 Marshmallow
Chipset: HiSilicon Kirin 650
CPU: Octa Core 2.0GHz + 1.7GHz
Kamera Utama: 13 MegapikselFlash : Single LED flash
Auto Fokus: √
Kamera Depan: 8 Megapiksel
Kad SIM: Dual SIM (Nano SIM)
Memori: 16GB ROM, 2GB RAM
Kad microSD: sehingga 128GB
Bluetooth: v4.1
WiFi: 802.11 b/g/n
NFC: X
Bateri: 3000 mAh
PAKEJ PEMBELIAN

Honor 5C masih mengekalkan rekaan kotak berwarna turquoise yang sama sahaja seperti model keluaran Honor sebelum ini. Malah penyediaan pakej pembeliannya adalah sangat asas kerana ia hanya disediakan dengan buku Quick Start dan Waranti, pin slot SIM, adapter pengecas 5V/1A dan juga kabel microUSB. Agak mengecewakan kerana ia tidak didatangkan sekali dengan earphone.
FIZIKAL
Filosofi Rekaan
Berbeza dengan rekaan Honor 5X sebelum ini, filosofi rekaan pada Honor 5C kelihatan sedikit berbeza kerana ia menggabungkan elemen plastik dan juga logam. Kerangka bahagian tepi 5C diperbuat daripada plastik dengan kemasan seperti logam, manakala bahagian panel belakangnya pula diperbuat daripada logam dengan efek brushed metal.
Skrin 5.2 Inci
Saiz skrin Honor 5C tampil lebih kecil iaitu berukuran 5.2 inci jika dibandingkan dengan 5X yang berukuran 5.5 inci. Kejelasan imej dan kejituan warna skrin yang disokong tidak mengecewakan kerana ia tampil dengan paparan jenis IPS LCD beresolusi 1080 x 1920 piksel. Namun kekurangannya adalah saiz bezel yang agak besar.
Logo ‘Honor’
Nampaknya 5C merupakan model pertama keluaran Honor yang mula menggunakan logo ‘Honor’ pada panel depan iaitu di bahagian bawah paparan skrin. Cetakan logo pada panel depan 5C sedikit sebanyak memberikan sedikit sentuhan atau butiran yang berjaya menyerlahkan penampilannya berbanding jika dibiarkan kosong.
Pengimbas Cap Jari
Kemasan brushed metal yang kelihatan berkilat dengan permukaan yang licin pada 5C berjaya menyerlahkan ciri-ciri premium pada reka bentuknya. Bahagian ini juga boleh ditemui lensa kamera utama beresolusi 13 Megapiksel dengan sokongan LED Flash. Manakala bahagian bawahnya pula disediakan dengan sensor pengimbas cap jari.
Slot Kad Hibrid
Anda perlu menggunakan pin yang disediakan dalam pakej pembelian untuk mengakses slot kad SIM kerana 5C menyokong kerangka jenis unibodi. Terdapat dua slot kad nanoSIM yang boleh anda gunakan dan memandangkan ia menggunakan slot kad hibrid, kad SIM pada slot kedua tidak boleh digunakan jika kad microSD digunakan.
Bahagian Atas & Bawah
Rekaan bahagian atas dan bawah 5C kelihatan sama sahaja seperti model 5X. Bahagian bawah menawarkan rekaan simetri yang mana lubang sebelah kiri berfungsi sebagai speaker dan lubang sebelah kanan merupakan lubang mikrofon. Di antara lubang gril tersebut pula disediakan dengan port microUSB. Bahagian atas pula hanya menempatkan port audio dan mikrofon.
PERBANDINGAN SPESIFIKASI
Apabila memiliki bajet yang agak terhad untuk membeli smartphone, sudah tentunya anda menginginkan sebuah model yang menyokong spesifikasi terbaik dan berbaloi dengan harganya. Jadi dengan meletakkan bajet harga sebagai kriteria utama, editor akan membandingkannya Honor 5C dengan dua lagi model pesaing terbaru yang dijual pada harga yang setanding iaitu Xiaomi Redmi Note 3 dan juga Samsung Galaxy J5 (2016). Berdasarkan kepada perbandingan spesifikasi ini, adakah Honor 5C mampu memenangi hati anda berbanding pesaingnya?!
APLIKASI MENARIK
Phone Manager
Tanpa perlu menggunakan aplikasi pihak ketiga yang akan menggunakan ruang storan peranti anda, Honor 5C yang dioperasikan dengan EMUI 4.1 telah didatangkan dengan aplikasi yang dikenali sebagai Phone Manager. Aplikasi pra-pasang ini membantu anda mengurus peranti seperti memastikan sistem sentiasa dioptimumkan, memantau trafik data, memadam fail yang tidak diperlukan dan banyak lagi.
Health
Health merupakan aplikasi yang agak baru diperkenalkan pada peranti Honor dan ia sememangnya sesuai untuk anda yang ingin menjalani gaya hidup yang sihat dalam cara yang mudah. Secara automatik, aplikasi ini akan memaparkan kiraan langkah dan juga jumlah kalori yang telah dibakar di ruangan notifikasi. Lebih menariknya, anda juga boleh menggunakan aplikasi ini sebagai alat bantuan senaman.
Kamera
Sebagaimana peranti yang dioperasikan dengan EMUI 4.1 yang lain, antaramuka kamera telah diperbaharui sama seperti yang dapat dilihat pada siri Huawei P9. Apabila paparan skrin dileretkan ke kanan, tetingkap pilihan mod penggambaran dan leretan ke kiri pula akan memaparkan tetapan kamera.
Pilihan mod penggambaran yang disokong:
• Pro photo
• Beauty
• Pro video
• Beauty video
• HDR
• Panorama
• Good food
• Light Painting
• Time-lapse
• Slow-mo
• All-focus
• Watermark
• Audio note
• Document scan
FUNGSI MENARIK
Hidden Applications
Untuk mengakses fungsi Hidden Applications yang tersembunyi ini, anda hanya perlu menggunakan kaedah pinch out pada paparan homescreen sama seperti kaedah ketika anda ingin zum gambar. Seterusnya klik sahaja pada ikon ‘Add’ untuk mula memilih aplikasi mana yang ingin disembunyikan.
App Lock
Tidak dinafikan ramai di antara pengguna di luar sana yang gemar menggunakan bantuan aplikasi khas untuk mengunci aplikasi agar tidak boleh diakses oleh individu lain. Dengan Honor 5C, fungsi itu sebenarnya telah tersedia di dalam aplikasi Phone Manager melalui menu App Lock.
Fingerprint ID
Sensor pengimbas cap jari Honor 5C bukan sekadar berfungsi untuk mengunci atau mengakses sistem peranti anda dengan cara yang paling efisien, tetapi ia juga turut dilengkapi dengan pelbagai fungsi tambahan. Dengan kaedah leretan atau menyentuhnya beberapa saat, anda boleh mengawal peranti dengan sangat mudah.
Dual Card Management
Sokongan dua kad SIM pada Honor 5C dapat diuruskan dengan lebih mudah dan pantas melalui tetapan Dual Card Management. Tanpa perlu menukarkan kad SIM dari satu slot ke slot, anda boleh menentukan kad SIM mana yang ingin disambungkan ke rangkaian 4G dan juga 2G.
HASIL GAMBAR

KOMEN EDITOR
Dengan harga di bawah mampu milik, Honor 5C dikuasakan dengan pemproses terbaru Kirin 650 dengan semikonduktor 16 nm FinFET+ yang menjanjikan kelancaran pengoperasian. Malah sokongan pengimbas cap jari yang praktikal ini juga memberikan kelainan berbanding pesaingnya yang lain. Bahkan ia juga sesuai untuk anda yang gemar bergambar melalui penyediaan pelbagai mod penggambaran yang tidak dapat ditemui pada peranti lain di dalam kelasnya. Namun begitu, agak mengecewakan kerana Honor 5C tidak menyokong fungsi VoLTE (Voice over LTE) dan juga sambungan USB OTG mahupun USB Host.