
Huawei Perkenalkan Siri Baru, Dua Peranti NOVA Dipamerkan Pada IFA 2016

Huawei yang turut mengambil bahagian pada acara tahunan IFA 2016 telah mengumumkan siri baru di bawah nama ‘NOVA’. Dua peranti yang diperkenalkan adalah Huawei NOVA dan juga Huawei NOVA Plus.
Huawei NOVA memfokuskan kepada spesifikasi pertengahan, di mana tampil dengan rekaan elegan. Menyokong pemproses Snapdragon 625 Octa Core 2.0GHz, memori RAM sebesar 3GB RAM serta bateri berkapasiti 3020mAh yang mampu bertahan sehingga 48 jam untuk penggunaan biasa.
Dari segi multimedia, smartphone ini menawarkan kamera utama 12 Megapixel dan sokongan Fast Focus serta kamera hadapan beresolusi 5 Megapixel dengan mod Beauty. Lebih istimewa, walaupun hadir dalam kelas pertengahan, NOVA boleh membuat rakaman video 4K.

Manakala Huawei NOVA Plus pula menawarkan paparan skrin, bateri serta penggambaran lebih tinggi berbanding NOVA. Hadir dengan skrin berukuran 5.5 inci dengan resolusi HD penuh, peranti ini menawarkan bateri berkapasiti 3340mAh serta kamera belakang 16 Megapixel dengan sokongan OIS. NOVA Plus menawarkan fungsi ‘Experience Mode’ yang dapat menjaga privasi anda.
Fungsi lain yang disokong oleh kedua-dua model ini adalah teknologi pengimbas cap jari serta kebolehan mengawal cahaya biru melalui mod Eye Protection.
Huawei NOVA dijual pada harga € 399 (kira-kira RM 1,816) dan NOVA Plus pula berharga € 429 (kira-kira RM 1,952).
https://www.youtube.com/watch?v=_U-Y06zlyEw

