
DJI Mavic Pro! Pencabar Karma?
DJI merupakan nama besar dalam dunia dron, kepada penggemar dunia alat penerbangan pastinya kenal benar nama DJI dan barisan produknya. Baru-baru ini GoPro telah melancarkan dron Karma yang dilihat merupakan dron kamera terbaru yang terhebat ketika ini. Namun kini ia sudah ada pencabar, DJI mengumumkan pula Mavic Pro, dron kamera paling kompak di dalam katalog DJI, mari kita tengok.
DJI Mavic Pro meletakkan fokus kepada saiz kompak dan kemudahan untuk di bawa ke mana-mana. Ia dengan mudah boleh dilipat dan disimpan di dalam beg, menjadikannya antara dron yang paling versatil. Apabila tiba masa untuk merakam, keluarkan dari beg, kembangkan sayap peranti dan Mavic Pro sudah siap sedia untuk diterbangkan.

Kawalan penerbangan boleh dilakukan melalui alat kawalan yang menyokong paparan semasa penerbangan dan informasi peranti. Namun jika anda mempunyai ruangan yang terhad ketika bergerak dan melakukan aktiviti, anda juga boleh memilih untuk mengawal Mavic Pro melalui smartphone anda.
Kamera yang ada pada Mavic Pro boleh merakam video beresolusi 4K 30fps, namun tiada teknologi penstabil imej digunakan pada kamera ini. Bahkan DJI melakukan sesuatu yang lebih baik bagi anda mendapatkan video dan imej yang stabil, DJI telah mencipta sistem 3 axis gimbal bersaiz mini bagi memastikan rakaman anda sentiasa stabil walaupun dron sedang terbang pada kelajuan yang tinggi.

Ciri-ciri menarik lain yang ada pada dron ini adalah sokongan DJI Goggles, peranti ini membolehkan anda mengawal arah penerbangan dengan hanya menolehkan kepala sambil dapat melihat paparan semasa pemandangan ketika dron diterbangkan. Selain itu kamera ini juga dilengkapi teknologi pengecaman gesture yang membolehkan dron menangkap gambar anda apabila anda melakukan gesture tertentu.
Dron ini dijual pada harga USD 999 (RM 4133.91) tanpa alat kawalan, bagi pakej beserta alat kawalan anda perlu menambah USD 300 (RM 1241.41). Masih belum diketahui sama ada dron ini akan dijual secara rasmi dalam pasaran tempatan.

