Temu Bual Bersama Presiden Perniagaan Telefon Pintar Bahagian Pengguna Huawei

IMG_20160823eRing bersama-sama dengan beberapa media tempatan yang terpilih hari ini telah dijemput secara eksklusif oleh Huawei Malaysia untuk menemu bual Presiden Perniagaan Telefon Pintar Bahagian Pengguna iaitu Kevin Ho sempena kunjungannya di negara ini.

Sesi temu bual yang diadakan ini memberi peluang untuk kami mengajukan soalan berhubung dengan peranti terbaru Huawei yang baru sahaja dilancarkan baru-baru ini iaitu Huawei P9 dan juga Huawei P9 Plus. Jadi bagi memudahkan pembaca melihat sendiri apakah perkongsian dan juga pendedahan berhubung siri Huawei P9 ini, eRing telah membuat kesimpulan temu bual tersebut seperti berikut:-

#1. Penerimaan positif Huawei P9 & P9 Plus di pasaran global
Berbanding dengan Huawei P8 yang telah diperkenalkan pada tahun lalu, Huawei P9 dan P9 Plus telah memperlihatkan sambutan yang jauh lebih baik. Berdasarkan kenyataan Kevin Ho, jualan kedua-dua model ini di pasaran global sangat positif dengan peningkatan hampir dua kali ganda. Malah di Malaysia sendiri, jualan Huawei P9 telah meningkat sehingga empat kali ganda jika dibandingkan dengan jualan Huawei P8 bagi tempoh yang sama selepas ianya dilancarkan secara rasmi. Berdasarkan kepada data yang dikongsikan, sebanyak 2 juta unit Huawei P9 dan P9 Plus telah diedarkan di pasaran global sebulan selepas ianya dilancarkan.Huawei P9

#2. Lensa Leica berkemungkinan besar akan turut diperkenalkan pada siri Mate pada masa akan datang
Sebagaimana yang kita ketahui, keistimewaan Huawei P9 dan P9 Plus sememangnya memfokuskan pada kekuatan penggambarannya yang dilengkapi dengan lensa berteknologi Leica. Jadi memandangkan Huawei telah berkerjasama dengan Leica untuk menghasilkan lensa kamera untuk peranti premium keluaran Huawei, berkemungkinan besar lensa Leica akan turut diperkenalkan pada siri Mate pada masa akan datang.Leica

#3. EMUI akan menerima pembaharuan antaramuka dengan kemunculan siri Mate terbaru
Jika dilihat pada antaramuka yang digunakan pada peranti Huawei, jelas dapat dilihat EMUI atau Emotion UI ini tidak banyak berubah sejak dari awal kemunculannya. Menurut Kevin Ho, buat masa ini Huawei telahpun mendapatkan khidmat pereka antaramuka yang terbaik dan bakal memperkenalkan antaramuka EMUI yang diperbaharui dengan kehadiran siri Mate terbaru tidak lama lagi di pasaran. Tambahnya lagi, siri Huawei Mate yang baru tidak akan diperkenalkan dalam pameran IFA 2016 yang akan dilangsungkan tidak lama lagi. Ini kerana siri terbaru Mate itu akan diperkenalkan buat pertama kalinya dalam majlis pelancaran yang berasingan selepas pameran tahunan itu diadakan dan dijangka dalam tempoh dua bulan lagi.IFA 2016

#4. Huawei sasar jualan global sebanyak 140 juta unit untuk tahun 2016
Pada tahun 2015, Huawei telah berjaya mencapai jualan global mencecah sehingga 100 juta unit telefon pintar untuk pasaran di seluruh dunia dan untuk tahun 2016 ini pula, Huawei telah mensasarkan jualan global sebanyak 140 juta unit. Setakat suku pertama tahun 2016, Huawei telah berjaya menjual sebanyak 61 juta unit telefon pintar dan suku kedua pula telah mencatatkan jualan global hampir mencecah 80 juta unit. Jadi sasaran itu diyakini mampu dicapai sehingga tahun 2016 melabuhkan tirainya dalam tempoh lebih kurang empat bulan dari sekarang. Malah jumlah penghantaran siri Huawei P9 secara global juga setakat ini telah berjaya mencapai sasaran Huawei.

#5. Antara Huawei P9 dan Huawei P9 Plus, yang mana menerima sambutan positif dari pengguna?!
Berdasarkan kepada rekod jualan, Huawei P9 telah mencatatkan angka jualan yang jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan Huawei P9 Plus secara keseluruhannya. Namun begitu, jelas dapat dilihat bahawa pengguna di China dan juga Asia Tenggara lebih cenderung untuk memiliki model Huawei P9 Plus disebabkan oleh faktor saiz skrin dan juga kapasiti yang lebih besar. Manakala pengguna di Eropah dan juga Timur Tengah lebih menggemari model Huawei P9 kerana faktor kerangka yang lebih kecil dan mudah untuk dipegang.

#6. Siri P dan juga Mate akan terus menerima kemas kini berterusan untuk tempoh 2 tahun
Baru-baru ini Honor pernah mengumumkan akan menawarkan sokongan kemas kini berterusan untuk perisian dan juga keselamatan untuk peranti kelas-atasan bagi tempoh 2 tahun selepas dilancarkan. Jadi apabila diajukan persoalan adakah Huawei juga akan turut mengambil langkah yang sama, Kevin Ho mengiyakan persoalan tersebut. Menurutnya, sebagaimana peranti Honor, siri P dan juga Mate juga akan terus menerima kemas kini berterusan daripada Huawei untuk tempoh 2 tahun.

You might also like