
HARGA: RM 2,099
Sokongan kamera yang berkualiti sememangnya menjadi antara kriteria utama kebanyakan pemilik smartphone kerana ia lebih mudah untuk dibawa ke mana jua anda pergi. Ini bermakna kebanyakan daripada pengguna biasa tidak lagi perlu membawa kamera kompak mahupun kamera DSLR dalam proses untuk mengambil gambar.
Menyedari akan hakikat tersebut, Huawei yang sememangnya lebih memfokuskan pada keupayaan penggambaran melalui siri P keluarannya ini telah menampilkan kejutan apabila ia bukan sahaja menampilkan rekaan dua buah lensa kamera, tetapi turut bekerjasama dengan Leica untuk memastikan pengalaman penggambaran terbaik dengan kehadiran Huawei P9 di pasaran. Selain daripada keupayaan penggambaran yang telah dipertingkatkan ini, Huawei P9 juga turut menampilkan rekaan yang sangat menarik dengan rasa premium setanding jenama popular lain di pasaran.
PERBANDINGAN SPESIFIKASI DUA GENERASI
KOTAK PEMBUNGKUSAN & AKSESORI
PENAMPILAN REKA BENTUK DIPERBAHARUI
Panel Depan
Walaupun hadir dengan saiz skrin yang sama, Huawei P9 tampil dengan saiz kerangka yang lebih kompak yang mana nisbah kerangka-ke-skrin adalah lebih tinggi iaitu 72.9% berbanding 71.4% pada Huawei P8. Lebar yang telah berkurangan sebanyak 1.2mm ini sedikit sebanyak memberi keselesaan dan juga rasa pegangan yang lebih baik.
Lubang Earpiece
Selain daripada kedudukan kamera depan yang telah diubah pada sebelah kiri bersebelahan sensor, pembaharuan ketara yang dapat dilihat adalah kemasan lubang earpiece. Jika P8 tampil dengan kemasan gril plastik dengan warna yang tampil sama seperti warna kerangkanya, lubang earpiece pada P9 pula diperbuat daripada logam dan di dalamnya turut menempatkan LED notifikasi.
Skrin 2.5D Unik
Penggunaan paparan skrin Gorilla Glass 4 dengan permukaan 2.5D sememangnya menyerlahkan rasa premium pada P9, berbanding P8 yang tampil dengan skrin Gorilla Glass 3 yang rata. Lebih unik, persembahan panel depan pada P9 turut menerima sentuhan jalur yang kelihatan mirip seperti Galaxy Note 4. Malah perkataan ‘Huawei’ juga kini telah ditempatkan di bahagian bawah skrin.
Dwi Lensa Leica
Huawei P9 menawarkan dua lensa kamera hasil daripada kerjasama dengan pembuat lensa kamera popular iaitu Leica. Selain itu, P9 juga kini telah dilengkapi dengan teknologi fokus yang jauh lebih pantas dengan sokongan fokus jenis PDAF dan juga Laser. Kemasan lensa juga kelihatan lebih premium jika dibandingkan dengan P8. Tetapi agak mengecewakan kerana ia tidak lagi hadir dengan teknologi OIS.
Pengimbas Cap Jari
Logo ‘Huawei’ pada P8 kini telah digantikan dengan sensor pengimbas cap jari berbentuk empat segi dengan kemasan krom di sekelilingnya sama seperti model Mate S dan juga G8. Berbeza dengan kebanyakan smartphone yang mengehadkan sensor tersebut untuk mengimbas cap jari sahaja, tetapi Huawei telah mengoptimumkannya untuk pelbagai aktiviti tambahan yang lain.
Jalur Antena
Pada bahagian bawah kerangka panel belakang, kedua-dua generasi ini tampil dengan jalur antena yang diperbuat daripada plastik. Namun begitu, jalur antena pada P9 kelihatan sedikit kekuningan berbanding putih krim pada P8. Jika dibandingkan antara kedua-dua model ini, editor merasakan jalur antena pada P8 adalah lebih baik berbanding P9 kerana ia terasa rata apabila disentuh.
Kerangka Atas & Bawah
Bahagian atas P9 kelihatan lebih kosong kerana ia hanya menempatkan lubang speaker sahaja. Manakala bahagian bawah kerangka P9 telah dioptimumkan pengunaan ruangnya dengan port 3.5mm audio jack, lubang mikrofon, port USB Type-C yang terbaru dan juga sebuah speaker. Menariknya port USB Type-C ini menawarkan proses pemindahan fail dan juga pengecasan yang lebih pantas.
Sisi Kanan & Kiri Kerangka
Butang volume dan juga butang Power masih lagi dikekalkan pada sisi kanan P9, tetapi saiz butang Power kini kelihatan lebih lebar dengan permukaan yang memiliki tekstur bagi memudahkan anda membezakannya dengan butang volume. Manakala slot kad SIM dan juga kad microSD bukan sahaja telah disatukan dalam satu slot yang sama, bahkan kedudukan slot ini juga telah dipindahkan ke sisi kiri kerangka.
ANTARAMUKA EMUI 4.1
Tidak dinafikan selain daripada sokongan spesifikasi yang berprestasi tinggi dan juga penampilan kerangka luaran yang menarik, satu kriteria yang sering dilihat oleh pengguna sebelum membuat pembelian sesebuah smartphone itu adalah tidak lain dan tidak bukan persembahan antaramuka yang digunakan. Seperti yang diketahui, Huawei telah mengambil pendekatan untuk menggunakan antaramuka yang tampil lebih ringkas tetapi dalam masa yang sama menyediakan fungsi menarik yang boleh anda gunakan. Berikut adalah fungsi yang boleh anda dapati pada Huawei P9 yang dioperasikan dengan antaramuka terbaru EMUI 4.1 yang berasaskan kepada Android 6.0 Marshmallow…
9 Fungsi Menarik
#1 – 4 ikon pintas di lockscreen
Tanpa perlu mengakses menu smartphone, anda boleh mengakses empat aplikasi dengan lebih pantas di paparan lockscreen iaitu rakaman audio, kalkulator, lampu suluh dan kamera dengan meleret simbol bahagian bawah ke atas.
#2 – Sembunyikan aplikasi
Pada paparan homescreen, gunakan kaedah pinch out untuk mengakses fungsi tersembunyi yang dikenali sebagai ‘Hidden apps’. Apa yang menariknya, anda bebas memilih apa jua aplikasi untuk disembunyikan daripada dipaparkan pada homescreen.
#3 – Mengunci aplikasi
Tanpa perlu menggunakan aplikasi pihak ketiga, kini anda boleh mengelakkan individu lain daripada cuba membuka aplikasi yang ada dengan bantuan pengimbas cap jari yang lebih praktikal.
#4 – Aplikasi pengurusan peranti
Aplikasi ‘Phone Manager’ berupaya membantu anda mengurus Huawei P9 secara optimum. Antara fungsi yang disokong adalah penyingkiran fail yang tidak diperlukan, pemantauan penggunaan data Internet, senarai hitam kontak dan banyak lagi.
#5 – Health
Aplikasi ‘Health’ membantu anda untuk memantau aktiviti senaman yang dilakukan dengan menetapkan sasaran kecergasan yang dikehendaki. Terdapat tiga sasaran yang boleh anda pilih iaitu berdasarkan pada jarak, masa atau kalori.
#6 – Smart screenshot
Proses mengambil gambar screenshot terasa lebih mudah dengan adanya sokongan fungsi ‘Smart Screenshot’ yang menyokong tiga mod berbeza iaitu Scroll Screenshot, Full Screenshot dan juga Partial Screenshot.
#7 – Rakaman skrin
Tanpa perlu bersusah payah menggunakan aplikasi pihak ketiga, anda boleh merekod klip video berkualiti HD pada skrin dengan dua cara mudah iaitu sama ada menekan serentak butang Volume Up dan butang Power atau mengetuk skrin menggunakan dua buku jari.
#8 – Carian pantas
Bagi memudahkan anda membuat carian pantas, leretkan sahaja paparan skrin ke bawah pada mana-mana paparan homescreen. Selain memudahkan carian aplikasi, kontak, mesej dan sebagainya, fungsi ini juga akan memaparkan aplikasi yang pernah anda gunakan.
#9 – Users
Memandangkan Huawei P9 dioperasikan oleh EMUI 4.1 berasaskan Android 6.0 Marshmallow, kini anda boleh menambah beberapa akaun Guest bagi memastikan segala data atau teks mesej anda tidak diakses oleh individu lain apabila akaun tersebut diaktifkan.
TIP PANTAS!
#Tip 1 – Cara untuk melajukan Huawei P9
Tidak dinafikan lagi pengoperasian Huawei P9 sememangnya terasa lancar, tetapi sebenarnya anda masih boleh menikmati kelancaran pengoperasian yang lebih baik dengan cara yang sangat mudah. Caranya adalah dengan mematikan kesemua animasi yang terdapat di dalam menu Developer Options iaitu Window animation scale, Transition animation scale, dan juga Animator duration scale. Tetapi sebelum itu, anda terlebih dahulu perlu mengaktifkan menu Developer Options di dalam Settings dengan klik pada Build number di dalam menu About phone sebanyak 7 kali.
#Tip 2 – Gunakan adapter pengecas 9V/2A
Mungkin ada di antara anda yang tidak tahu bahawa sebenarnya Huawei P9 menyokong fungsi pengecas pantas, tetapi tidak diketahui teknologi apakah yang digunakan. Walau bagaimanapun, agak mengecewakan kerana pakej pembelian Huawei P9 hanya didatangkan dengan adapter pengecas jenis 5V/2A sahaja. Berikut adalah perbezaan masa mengecas yang editor telah jalankan dengan menggunakan dua adapter pengecas berbeza iaitu 5V/2A (pengecas standard Huawei P9) dan 9V/2A (pengecas Huawei Mate 8).
Pengecas normal menggunakan adapter 5V2A
Proses mengecas dimulakan pada jam 9.05pm dengan baki bateri 20%.
Selepas 30 minit dicas, peratusan bateri telah meningkat kepada 44% (jumlah peningkatan 24%).
1 jam dicas, peratusan bateri telah meningkat kepada 70% (jumlah peningkatan 50%).
Pengecas pantas menggunakan adapter 9V2A
Proses mengecas dimulakan pada jam 7.08pm dengan baki bateri 20%.
Selepas 30 minit dicas, peratusan bateri telah meningkat kepada 54% (jumlah peningkatan 34%).
Selepas 1 jam dicas, peratusan bateri telah meningkat kepada 86% (jumlah peningkatan 66%).
PERHATIAN! Editor turut menggunakan adapter pengecas pantas dari OPPO F1 Plus yang tampil dengan output 5V/4A, tetapi agak mengecewakan kerana fungsi pengecas pantas tidak dapat diaktifkan pada Huawei P9. Ini berkemungkinan besar disebabkan oleh isu ketidaksesuaian atau penggunaan teknologi pengecasan yang berbeza oleh OPPO.
Bagaimana caranya untuk mengetahui sekiranya fungsi pengecas pantas diaktifkan?!
Sebaik sahaja anda menyambungkan adapter dengan sokongan pengecas pantas (9V/2A), ada tiga cara untuk anda mengetahui sama ada fungsi pengecasan pantas pada Huawei P9 telah diakfitkan ataupun tidak. Berikut adalah cara untuk anda mengetahuinya:
Cara pertama: melalui penerimaan mesej notifikasi yang memaklumkan anda bahawa pengecasan pantas telah digunakan.
Cara kedua: terteranya perkataan ‘Fast Charging’ pada paparan lockscreen.
Cara ketiga: melalui ikon bateri yang hadir dengan dua simbol kilat berbanding hanya satu sekiranya fungsi pengecas biasa digunakan.
Apakah fungsi yang tidak lagi disokong pada Huawei P9?!
Tidak dinafikan Huawei P9 merupakan versi peningkatan untuk model Huawei P8 dan sepanjang editor menggunakan sendiri model terbaru dari Huawei ini, terdapat beberapa fungsi yang sebelum ini ada pada Huawei P8 tetapi telah disingkirkan dari Huawei P9. Berikut adalah tiga fungsi yang tidak lagi disokong oleh Huawei P9:
Fungsi ‘Double Touch’
Kini anda tidak lagi boleh menggunakan kaedah menyentuh paparan skrin sebanyak dua kali untuk mengaktifkan paparan skrin kerana fungsi ‘Double Touch’ tidak lagi tersedia di dalam menu Settings → Smart Assistance → Motion Control. Mungkin anda merasakan fungsi itu tidak lagi diperlukan memandangkan paparan skrin boleh diaktifkan dengan menggunakan pengimbas cap jari, tetapi ianya kurang praktikal jika anda hanya ingin melihat jam atau memeriksa notifikasi tanpa unlock. Tambahan pula kedudukan pengimbas cap jari terletak di bahagian panel belakang yang menyukarkannya untuk dicapai apabila diletakkan di atas meja.
Touchplus
Satu lagi fungsi yang telah disingkirkan pada Huawei P9 adalah Touchplus yang terletak di menu Settings → Smart Assistance → Touchplus. Penyediaan fungsi Touchplus merupakan antara fungsi yang sangat digemari oleh editor kerana ia membolehkan butang kawalan on-screen dipindahkan ke bahagian bezel di bawah paparan skrin dengan menggunakan aksesori khas iaitu pelindung skrin kaca yang juga dikenali sebagai Touchplus. Sokongan fungsi ini secara tidak langsung membolehkan keseluruhan paparan skrin digunakan sepenuhnya tanpa gangguan butang kawalan jenis on-screen.
Wireless Display
Huawei P9 juga tidak lagi menyokong fungsi Wireless Display seperti yang terdapat pada Huawei P8 sebelum ini. Sokongan Wireless Display membolehkan pemilik untuk memaparkan paparan skrin pada smartphone ke paparan yang lain dengan menggunakan sambungan WiFi. Ini bermakna anda boleh melihat gambar, atau menonton video pada paparan yang lebih besar untuk dikongsikan dengan rakan-rakan atau ahli keluarga anda.
ZON UJIAN
Seperti biasa apabila munculnya model terbaru di pasaran, sudah tentunya ramai di antara kita yang akan cuba membandingkannya dengan generasi sebelum ini dan juga beberapa model lain yang terdapat di pasaran. Bagi melihat sendiri keupayaan dan juga prestasi Huawei P9, kami telah memilih beberapa model smartphone yang dijual pada harga jualan (RRP) antara RM2,098 hingga RM2,299 iaitu ASUS ZenFone Zoom, OPPO R7 Plus, Samsung Galaxy S6 dan juga Sony Xperia Z5 Dual. Selain itu, kami juga turut menyelitkan generasi sebelum ini iaitu Huawei P8 agar mudah untuk anda melihat peningkatan dan keupayaan yang dibawakan oleh generasi terbaru ini. Berikut adalah beberapa jenis ujian berbeza yang kami telah lakukan…
#1. Ujian Speaker
Kekuatan audio apabila anda menggunakan earphone pada Huawei P9 sememangnya sedikit mengecewakan kerana ia tidak sekuat peranti lain yang dibandingkan. Tetapi apabila muzik dimainkan menggunakan loudspeaker, Huawei P9 merupakan antara yang terbaik tetapi masih tidak mampu mengatasi kelantangan Huawei P8. Manakala dari segi kualiti pula ia menawarkan audio yang baik dari segi bes dan treble.
#2. Ujian Skrin
Walaupun tahap keterangan maksimum Huawei P9 bukanlah yang terbaik, tetapi sokongan paparan jenis IPS-NEO LCD menawarkan sudut pandangan yang baik dan juga kontras yang memuaskan. Berdasarkan perbandingan yang editor lakukan, jelas dapat dilihat Huawei P9 menyokong paparan yang lebih warm berbanding Huawei P8 yang tampil dengan paparan yang lebih menjurus kepada cool.
#3. Ujian Benchmark
Sokongan pemproses HiSilicon Kirin 955 yang terbaru daripada Huawei ini sememangnya tidak mengecewakan jika dibandingkan dengan pesaingnya yang lain. Bahkan ia juga menawarkan prestasi hampir dua kali ganda lebih baik berbanding generasi sebelumnya. Tetapi sekiranya anda menggemari permainan berkualiti HD, Huawei P9 bukanlah yang terbaik kerana ia menawarkan prestasi yang sederhana sahaja.
#4. Ujian Bateri
Walaupun didatangkan dengan adapter pengecas 5V/2A, masa mengecas yang diambil oleh Huawei P9 sebenarnya tidaklah begitu mengecewakan kerana ia hanya mengambil sekitar 2 jam 26 minit untuk dicas penuh dari 0 hingga 100%. Tambahan pula ia menyokong kapasiti bateri yang agak besar iaitu 3000mAh. Masa mengecas yang diambil sudah tentunya lebih pendek jika anda menggunakan adapter pengecas dengan output 9V/2A (Huawei Mate 8) seperti yang dicuba oleh editor sebelum ini.
DWI LENSA LEICA
Sebagaimana generasi sebelum ini, keistimewaan siri P keluaran Huawei sudah tentunya memfokuskan pada keupayaan penggambaran. Ini jelas dilihat pada Huawei P6 yang merupakan smartphone pertama tampil dengan mod makro 4cm yang pertama, Huawei P7 dengan Pemproses Isyarat Imej (ISP) setanding DSLR yang pertama, dan juga Huawei P8 yang tampil sebagai smartphone pertama menyokong sensor RGBW. Keupayaan dan keunikan penggambaran Huawei P9 ini nampaknya telah dipertingkatkan ke satu tahap yang lebih menarik dengan sokongan dua lensa yang telah mendapat sentuhan pembuat kamera profesional iaitu LEICA.

1. Viewfinder Auto
Mod penggambaran Auto telah disediakan dengan dua fungsi tambahan iaitu Wide Aperture dan juga Filters.
2. Viewfinder Pro
Mod Pro pula membolehkan anda melaras ISO, Shutter speed, Exposure value, Auto Focus , White balance dan juga Metering.
3. Modes
Kini kesemua Modes telah ditempatkan di sebelah kiri viewfinder dan anda boleh mengaksesnya dengan leretan dari kiri ke kanan.
4. Settings
Manakala Settings pula boleh diakses dengan meleretkan jari dari kanan ke kiri pada paparan viewfinder.
HASIL GAMBAR
#1. Wide Aperture
Dengan menggunakan mod Wide Aperture, anda boleh mendapatkan hasil gambar dengan efek bokeh yang sangat baik. Lebih menariknya, efek bokeh itu boleh dilaras secara manual selepas gambar diambil antara F16 hingga F0.95.
#2. Monochrome
Keistimewaan lensa Leica sudah tentunya sokongan mod penggambaran Monochrome yang berupaya mengambil gambar hitam dan putih dengan kontras yang sangat baik. Ini jelas dapat dilihat pada hasil gambar yang diambil dalam persekitaran gelap.
#3. Night Shot
Mod penggambaran Super Night yang digunakan sebelum ini telah ditukarkan namanya ke mod Night Shot pada Huawei P9. Dengan bantuan tripod, anda berupaya mengambil gambar yang sangat gelap dengan menggunakan kaedah long exposure.
#4. Mod Auto – Siang
Walaupun tidak menggunakan mod HDR, hasil gambar kelihatan sangat baik kerana masih boleh dilihat dengan jelas kepulan awan dan dalam masa yang sama kejituan warna pada bangunan berjaya dikekalkan dengan baik.
#5. Mod Auto – Malam
Tanpa menggunakan sebarang mod, penggambaran lampu neon ini berjaya diambil tanpa masalah noise walaupun sedikit dan warna lampu neon yang berwarna-warni itu kelihatan sangat menonjol sekali.
#6. Makro
Pengambilan gambar pada jarak yang dekat atau lebih dikenali sebagai mod makro tidak menjadi masalah kerana Huawei P9 berupaya fokus pada objek tanpa sebarang masalah kerana ia dibantu oleh fokus jenis laser.
KOMEN
Kelebihan
- Sokongan dua lensa kamera pada Huawei P9 sememangnya istimewa kerana menerima sentuhan daripada pembuat lensa profesional. Selain fungsi dan keupayaan penggambaran, ia juga turut menerima bunyi shutter dari Leica.
- Tidak keterlaluan jika dikatakan Huawei P9 tampil dengan rekaan antara yang paling menarik di pasaran dan terasa sangat premium apabila dipegang.
- Pengimbas cap jari antara yang terpantas dan sangat praktikal kerana menyokong pelbagai fungsi kawalan tambahan yang tidak ditawarkan oleh kebanyakan peranti.
- Mungkin antaramuka EMUI 4.1 tidak begitu digemari oleh sesetengah individu, tetapi ia menawarkan prestasi dan kelancaran pengoperasian yang sangat lancar.
Kekurangan
- Walaupun menyokong teknologi pengecas pantas, agak mengecewakan kerana pakej pembelian Huawei P9 tidak didatangkan dengan adapter pengecas pantas sebagaimana Huawei Mate 8.
- Masih lagi menggunakan slot kad hibrid yang hanya menerima satu jenis kad sahaja dalam satu masa sama ada kad SIM ataupun kad microSD.
- Keupayaan penggambaran pada Huawei P9 tidak lagi dilengkapi dengan teknologi OIS (Optical Image Stabilization) dan tiada sokongan rakaman video 4K.
- Berdasarkan kepada pengalaman editor sendiri, penggunaan port USB Type-C yang masih belum meluas memerlukan anda untuk sentiasa membawa kabel tersebut ke mana jua anda pergi.











