
Model Peningkatan Samsung Galaxy On5 Pro & Galaxy On7 Pro Dilancarkan
Nampaknya Samsung semakin rancak memperkenalkan smartphone milik mereka dengan mengumumkan dua smartphone versi peningkatan iaitu Galaxy On7 Pro dan juga Galaxy On5 Pro. Dengan tagline ‘Go On Like a Pro’, rekaan kedua-dua smartphone ini seakan sama dengan generasi pertamanya, yang menampilkan rekaan premium pada harga mampu milik. Apakah yang membezakan kedua-dua smartphone ini?
Pertama adalah paparan skrin, di mana Galaxy On5 Pro tampil dengan skrin lebih kecil iaitu 5.0 inci berbanding 5.5 inci pada model Galaxy On7 Pro. Tetapi resolusi kedua-duanya masih sama iaitu 1280×720 piksel.

Pemproses kedua-dua smartphone ini juga berbeza! Samsung Galaxy On5 Pro dikuasakan oleh chipset Exynos 3475, Quad Core 1.3GHz bersama Mali-T720, manakala Galaxy On7 Pro pula menggunakan CPU Qualcomm Snapdragon 410, Quad Core 1.2GHz serta GPU Adreno 306.
Dari segi penggambaran, Galaxy On7 Pro menawarkan penggambaran utama 13 Megapiksel, tetapi berbeza dengan Galaxy On5 Pro yang hanya dilengkapi lensa utama 8 Megapiksel. Lensa untuk kamera depan pula dikekalkan kepada 5 Megapiksel.

Akhir sekali, bateri Li-Ion berkapasiti 3000mAh pada Galaxy On7 Pro boleh digunakan lebih lama daripada Galaxy On5 Pro yang hanya menyediakan bateri berkapasiti 2600mAh. Memandangkan ianya versi peningkatan, kedua-dua smartphone ini telah dibekalkan dengan memori dalaman berkapasiti 16GB, 2GB RAM berbanding hanya 8GB, 1.5GB RAM pada model sebelum ini.
Samsung Galaxy On7 Pro dijual pada harga USD 137 (kira-kira RM540), manakala Samsung Galaxy On7 Pro pula berharga USD 167 (kira-kira RM658).
