
Easter Egg Pada Android 7.0 Nougat Diinspirasikan Daripada Permainan Neko Atsume
Kemunculan Android N Developer Preview yang kelima atau terakhir sudahpun mula tersedia untuk dicuba pada peranti Nexus dan melalui kemunculan versi terakhir ini, Google nampaknya turut menyertakan sekali easter egg terbaru untuk platform Android 7.0 Nougat.
Pada awal kemunculannya, easter egg pada platform Android hanya menampilkan animasi ringkas tersembunyi di dalam menu tetapan. Tetapi sejak kemunculan Android 5.0 Lollipop, Google telah menggunakan pendekatan yang lebih interaktif dengan memperkenalkan permainan sebenar mirip seperti Flappy Bird dan telah diperbaiki pada Android 6.0 Marshmallow.
Android 7.0 Nougat ini telah meneruskan tradisi tersebut apabila easter egg yang digunakan telah diinspirasikan daripada permainan yang berasal dari Jepun yang dikenali sebagai Neko Atsume. Sama seperti permainan asal, pengguna peranti Android 7.0 dikehendaki memilih kombinasi makanan untuk menarik perhatian kucing dan seterusnya boleh disimpan di dalam koleksi kucing peribadi anda.
Berbeza dengan permainan easter egg sebelum ini, Android 7.0 membolehkan anda untuk terus mengaktifkan permainan tersembunyi itu dan akan dipaparkan pada ruangan notifikasi peranti anda. Ini bermakna anda tidak lagi perlu mengaktifkan easter egg itu setiap kali mahu memainkannya kerana ia akan sentiasa diaktifkan dan kawalan permainan tersedia pada ruangan notifikasi. Jadi tidak mustahil pada versi Android akan datang, Google akan memperkenalkan permainan RPG penuh dengan plot dan juga sokongan pembangunan karakter.